"Sampai Ada Yang Mahu Terbang Ke Indonesia..." - Didekati VIP, Shiha Zikir Tolak Cara Baik

Kamaruddin Razal
Mac 17, 2019 21:26 MYT
Penyanyi Shiha Zikir mendedahkan dia pernah didekati oleh golongan kenamaan yang mahu berkenalan dengan lebih rapat.
Biarpun sudah mempunyai kekasih, beberapa individu dari golongan VIP tetap mahu mencuba nasib untuk mendekati Shiha.
"Saya akui, pernah terjadi beberapa individu dari golongan VIP mahu berkenalan dengan lebih mesra.
"Mereka mengajak saya keluar, mahu makan malam, malah ada yang sanggup terbang ke Indonesia ketika saya berada di sana untuk bersua muka.
"Selalunya, saya menolak dengan baik. Saya berikan pelbagai alasan agar mereka tahu yang saya tidak berminat.
"Saya juga letakkan syarat... jika mahu keluar dengan saya, haruslah ditemani ibu dan rakan-rakan lain," katanya.
Shiha ditemui ketika majlis pelancaran lagu Bukan Bahagiaku nyanyian Kay Khydir di Red Box The Gardens, baru-baru ini.
Kay merupakan artis pertama yang bernaung di bawah syarikat pengurusan milik Shiha, SZ Entertainment.
"Saya percaya dengan bakat yang Kay ada dan saya mahu dia menyerlahkan usaha sebagai seorang penyanyi.
"Selepas Kay keluar dari AF9, orang ramai lebih mengenalinya sebagai pelakon dan ada yang terlupa dia mempunyai vokal yang tersendiri.
"Menerusi lagu ciptaan Azlan Abu Hassan dan Abie Abdullah ini, saya percaya Kay boleh menyerlahkan potensi diri dan berjaya sebagai seorang penyanyi," katanya yang kini giat mempromosikan single dangdut Pipiyama di Indonesia.
#Penyanyi #Penyanyi #Shiha Zikir