Suami kepada pelakon Yasmin Hani, Sha'arin Razali Wong menyambut baik tindakan kerajaan membenarkan pemasangan cermin gelap pada kenderaan bermotor.

Hal itu disebabkan kejadian hitam yang pernah terjadi kepada Yasmin yang hampir dirompak ketika sedang memandu kereka bersendirian.

Lebih menakutkan, kejadian itu berlaku ketika Yasmin sedang hamil dan tingkap keretanya dipecahkan oleh penunggang motosikal.

"Tindakan bijak. Kami telah memasang cermin gelap pada tingkap kenderaan kami selepas tingkap kereta isteri saya dipecahkan oleh perompak bermotosikal ketika di sebuah persimpangan lampu isyarat.

"Ketika itu dia dilihat memandu bersendirian dan sedang hamil.

"Sampai sekarang dia akan paranoid apabila ada motosikal berhenti bersebelahan kenderaannya apabila lampu merah," tulis Sha'arin menerusi akaun Twitternya.



Selasa lalu, kerajaan mengumumkan kebenaran penggunaan lapisan filem atau cermin gelap tanpa had pada cermin sisi kiri dan kanan penumpang serta cermin kereta kenderaan.

Kata Menteri Pengangkuta, Anthony Loke, pindaan ke atas Kaedah-Kaedah Kenderaan Motor (Larangan Mengenai Jenis-Jenis Kaca Tertentu) 1991 dibuat selepas mendengar keluhan orang ramai.

Katanya, ia juga selaras Peraturan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) No 43: Peruntukan Seragam Mengenai Kelulusan Bahan Kaca Keselamatan dan Pemasangannya Pada Kenderaan.