Raikan Wira Wonda Kita! Kongsikan kisah inspirasi wira anda & menangi wang tunai RM10,000

Sampel DNA Sepadan, Jenazah Nur Farah Kartini Dikebumi Di Pekan, Pahang

Gempak
18/07/2024 06:06 MYT
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan mengesahkan jenazah Allahyarham Nur Farah Kartini Abdullah, 25, akan diserahkan kepada keluarga pada hari ini.

Beliau berkata, proses padanan asid deoksiribonukleik (DNA) yang dilakukan sebelum ini sepadan dengan Nur Farah Kartini.

"Hasil DNA yang dipadankan adalah positif. Mayat yang ditemui di kawasan ladang kelapa sawit di Kampung Sri Kledang, Hulu Selangor adalah Nur Farah Kartini.

"Saya sahkan bahawa jenazah akan diserahkan hari ini kepada keluarga," katanya menerusi kenyataan pada Khamis.

Jenazah Nur Farah Kartini akan dikebumikan di Pekan, Pahang selepas selesai proses tuntutan di Unit Forensik Hospital Sungai Buloh, Kuala Lumpur pada Khamis

Abang mangsa, Mohd. Farriza Amir Abdullah, 28, berkata, jenazah Allahyarham akan disolatkan di Masjid As-Syakirin, Kampung Tanjung Selangor.

“Jenazah kemudiannya akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Kampung Nyiur Manis, Bentan, Pekan.

“Butiran berkaitan akan saya sampaikan nanti,” katanya kepada pemberita.

Sementara itu, beberapa individu terdiri daripada ahli keluarga Allahyarham dilihat tiba di Unit Forensik Hospital Sungai Buloh di sini sejak pukul 11 pagi tadi.

Turut kelihatan van jenazah daripada Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dipercayai akan membawa jenazah arwah untuk dikebumikan.

Sumber - Kosmo, Harian Metro

#UPSI #Nur Farah Kartini #Suspek bunuh #Jenazah Nur Farah Kartini #Keluarga Nur Farah Kartini