Hiburan
"Sangat Mencabar..." - 4 Jam Syafiq Kyle Bertarung Dengan Mimi Lana
Pelakon Syafiq Kyle mengimbas semula kenangan ketika menjalani penggambaran filem Pusaka beberapa bulan lalu.
Menurut Syafiq yang memegang watak sebagai Inspektor Nuar, babak paling sukar untuk dijayakan ialah ketika dia bertarung dengan adik kembarnya yang bernama Nur, lakonan Mimi Lana.
"Bagi saya, babak itu sangat mencabar. Bayangkan, saya harus bertarung dengan Mimi dalam keadaan tubuh saya digantung dan ia membuatkan saya sangat tidak selesa.
"Saya juga perlu melafazkan dialog kepada Mimi seolah-olah tiada apa-apa berlaku, sedangkan saya sedang menahan sakit," katanya.
Syafiq ditemui usai majlis tayangan perdana filem Pusaka di MBO Cinemas, The Starling Mall, Damansara baru-baru ini.
Tambahnya lagi, pengalaman mencabar itu menjadi pengalaman yang sangat manis untuk dikenang sebagai seorang pelakon.
"Kami mengambil masa sehingga empat jam untuk menyelesaikan babak terbabit. Biarpun ia mencabar, saya merasakan ia sebagai pengalaman yang sangat manis untuk saya kenang sebagai pelakon.
"Biarpun ia menguji kekuatan mental dan fizikal, saya gembira kerana dapat menjayakan watak Inspektor Nuar," katanya lagi.
Filem Pusaka merupakan karya terbaru terbitan Astro Shaw dengan kerjasama Director's Think Thank dan dipersembahkan oleh produksi Alpha 47.
Mendapat sentuhan pengarah berbakat, Razaisyam Rashid, filem ini membariskan bintang-bintang hebat.
Filem ini menampilkan pelakon hebat seperti seperti Syafiq Kyle, Mimi Lana, Fauziah Datuk Ahmad Daud, Faizal Hussein, Sweet Qismina, Hafidz Roshdi, Aleza Shadan, Yuna Rahim dan ramai lagi.
Jangan lupa saksikan filem Pusaka di pawagam bermula 31 Oktober ini!
Untuk lebih informasi mengenai filem Pusaka, layari laman Facebook, YouTube, Twitter dan Instagram Astro Shaw.