Berita
"Sangat Sedih" - Pengurus Khai Bahar Meninggal Dunia
Pengurus kepada penyanyi terkenal Khai Bahar, Fadly Yusof meninggal dunia pagi tadi akibat komplikasi jantung, paru-paru, buah pinggang dan hati.
Menurut Pengurus Perhubungan Awam dan Publisiti kepada Khai yang juga merupakan rakan kepada Allahyarham, Mohammed Rizal atau lebih mesra dengan panggilan Jai, dia mendapat berita sedih tersebut pada pagi tadi.
"Kami mendapat panggilan telefon mengatakan Allahyarham Fadly atau lebih mesra dengan panggilan Abang Fad meninggal dunia pagi tadi. Saya tidak dapat menyatakan waktu yang sebenarnya, tetapi kami mendapat berita tersebut pada pukul 10:45 pagi tadi," kata Jai ketika dihubungi Gempak.
Advertisement
Menurut Jai, Allahyarham Fadly sememangnya mengalami pelbagai komplikasi sebelum ini tetapi tidak begitu serius sehinggalah dia dimasukkan ke hospital.
Penyanyi yang baru melancarkan single terbarunya yang bertajuk Durja, Khai Bahar ternyata sangat bersedih atas kehilangan tersebut.
"Sebelum orang lain mempercayai bakat saya, Allahyarham Abang Fad terlebih dulu percaya. Tiga tahun dia memujuk saya sebelum saya bersedia untuk menjadi penyanyi.
"Dialah orang yang bertanggungjawab membawa nama Khai hingga ke hari ini, dan kehilangan ini sangat besar dalam hidup Khai," tambah Khai yang nyata sedih dengan berita tersebut.
Ketika Gempak menghubungi Khai, dia bersama Pengurus Perhubungan Awamnya di dalam perjalanan ke Batu Pahat. Difahamkan jenazah Allahyarham akan dikebumikan di kampung halamannya selepas solat Asar nanti.
Al-Fatihah dan salam takziah daripada kami di Gempak.
Must-Watch Video