Sanggup Berhabis Hampir RM500,000, Rupanya Ini Sebab Nicole Kidman Beli Topi Hugh Jackman
Gempak
29/11/2022 14:42 MYT
29/11/2022 14:42 MYT
Pelakon terkenal, Nicole Kidman membuatkan penonton terkejut kerana dia membeli topi yang dipakai oleh aktor Hugh Jackman pada harga AS$100,000 (RM448,000) semasa majlis lelongan yang diadakan selepas persembahan muzikal Broadway di New York beberapa hari lalu.
Aktres Hollywood itu membeli topi yang ditandatangani oleh Jackman, 54, pada majlis lelongan yang diadakan selepas persembahan muzikal berjudul The Music Man. Jackman merupakan aktor berasal dari Australia iaitu negara kelahiran Kidman.
Kidman, 55, membeli topi itu bagi tujuan kebajikan kerana hasil lelongan tersebut akan disumbangkan kepada pertubuhan bukan kerajaan, Broadway Cares.
Dalam rakaman yang disiarkan di akaun Instagram Jackman, suara Kidman didengari membuat tawaran yang mengejutkan.
Dia juga bangkit dari tempat duduk dan menuju ke pentas serta memeluk aktor tersebut yang merupakan rakan lamanya sekali gus menerima tepukan daripada penonton.
“Nicole (Kidman) anda luar biasa! Kemurahan hati anda benar-benar menakjubkan. Terima kasih sahabat,” demikian menurut kenyataan Jackman dalam Instagram.
Perbuatan Kidman itu berlaku sebelum dia menerima Anugerah Pencapaian Sepanjang Hayat daripada Institut Filem Amerika Syarikat (AS) pada tahun depan.
Dia yang dibesarkan di Sydney akan menjadi warga Australia pertama menerima anugerah itu.
Sumber: Kosmo/agensi
Sumber: Kosmo/agensi