Penyanyi baru, Tuah Adzmi menjelaskan kesemua video muzik yang dihasilkannya sebelum ini bukanlah 100 peratus menggunakan duitnya sendiri.

Tuah sebaliknya memberitahu dia telah berkolaborasi dengan satu studio untuk menghasilkan muzik video tersebut.

"Orang ingat Tuah pakai duit sendiri tapi sebenarnya saya kerjasama dengan satu studio ini.

"Jadi dua muzik video iaitu Raja Dihati dan Air Mata Rindu dihasilkan secara separuh-separuh," katanya.

Tambah Tuah, berkat populariti yang diraih single Air Mata Rindu juga, dia kini telah 'dilamar' oleh syarikat rakaman FMC Music.

"Alhamdulillah FMC nampak bakat Tuah dan tidak lama lagi saya akan keluarkan single terbaru," katanya.

Tuah berkata demikian menerusi Gempak TV yang akan disiarkan di saluran Astro Ria (104) dan Ria HD (123) malam ini.

Selain Tuah, tetamu lain yang memeriahkan set Gempak TV malam ini termasuklah bintang Dansa Dan Sing iaitu Raja Syahiran dan 2Twenty2 Squad.

Justeru, bagi mengetahui lebih lanjut cerita mereka, jangan lupa saksikan Gempak TV yang dikendalikan pengacara, Isha Norsham dan Daniel O’Niel pada pukul 11 malam ini.

Gempak TV juga boleh ditonton secara live streaming menerusi www.gempak.com.