Isu wabak COVID-19 yang menular dalam kalangan jemaah tabligh yang menghadiri perhimpunan di Masjid Sri Petaling di Kuala Lumpur, akhir bulan lalu bukanlah isu yang patut dipandang remeh.

Ini kerana terdapat kes kematian akibat Covid-19 terdiri daripada kluster perhimpunan tabligh ini.

Namun, isu tersebut seakan dipermainkan oleh seorang penganggur apabila sanggup menyamar sebagai jemaah tabligh untuk mengelak dia ditahan pihak polis.

Menerusi Harian Metro, Ketua Polis Daerah Kajang Asisten Komisioner Ahmad Dzaffir Mohd Yussof berkata, lelaki berusia lingkungan 20-an itu ditahan ketika berkeliaran di sebuah pangsapuri di Balakong, 30 Mac lalu.

“Ketika dalam tahanan, suspek memaklumkan dia adalah seorang jemaah tabligh yang menghadiri perhimpunan di Sri Petaling.

“Kami terus membuat pengasingan dan memaklumkan perkara itu kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM)," katanya.

Tambahnya, walaubagaimanapun, siasatan lanjut dilakukan terhadap ahli keluarga dan rakan suspek mendapati dia bukan jemaah tabligh.

“Malah, ahli keluarga dan rakannya juga menafikan dia menghadiri perhimpunan itu

"Suspek mengaku dia memberi keterangan palsu kepada pihak polis kerana tidak mahu ditahan,” katanya.

Sumber: Harian Metro