Tular video seorang lelaki dilihat melempar duit dari atas bumbung untuk memberi sumbangan kepada anak-anak yatim.

Video yang tular di media sosial Indonesia itu kelihatan dua lelaki memanjat bumbung sebuah surau, lapor laman berita Suara.com kelmarin.

Menurut laporan itu, seorang daripada mereka berdiri lalu melempar wang kertas ke arah tetamu yang berada di bahagian bawah sambil diiringi oleh alunan muzik.

Kemudian, wang-wang yang bertebaran itu kemudian menjadi rebutan sejumlah kanak-kanak yang dikatakan merupakan anak-anak yatim.

Kejadian yang berlaku di Pekalongan Selatan, wilayah Jawa Tengah itu turut disaksikan oleh sekumpulan penduduk tempatan yang turut hadir ke acara menyantuni anak-anak yatim tersebut.

Video itu menjadi tular dengan ramai netizen memberikan pelbagai pendapat.

“Alangkah baiknya jika diberikan wang itu satu persatu kerana ia dilakukan pada majlis menyantuni anak-anak yatim,” kata seorang pengguna media sosial.

“Kalau niatnya untuk bersedekah, jangan buat begitu kerana ia dinamakan riak,” kata seorang lagi pengguna.

Sumber: suara.com