Sanggup Redah Banjir & Dayung Sampan Sendiri, Usaha Agong & Permaisuri Buat Rakyat Jelata Terharu
Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini, berkenan menyantuni penduduk di Kampung Ache, Pekan, Pahang yang dilanda banjir.
“Menzahirkan keprihatinan terhadap mangsa-mangsa banjir, KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong berkenan menggunakan sampan untuk meninjau situasi banjir di Kampung Acheh, Pekan, Pahang pada pagi hari ini.
“Seri Paduka Baginda berdua turut berkenan melawat Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan Kampung Acheh dan Balairaya Kampung Acheh dan meluangkan masa menyantuni mangsa-mangsa banjir yang ditempatkan di PPS tersebut,” kata kenyataan di laman rasmi tersebut.
Menurut laman itu lagi, dalam lawatan tersebut, Seri Paduka Baginda berdua turut berkenan mengurniakan sumbangan kepada mangsa-mangsa banjir bagi meringankan beban yang ditanggung akibat bencana banjir.
“Keberangkatan Seri Paduka Baginda berdua ini mencerminkan keperibadian dan keprihatinan tinggi Baginda berdua terhadap mangsa-mangsa banjir yang memerlukan bantuan.
“Seri Paduka Baginda berdua mengajak seluruh rakyat untuk bersama mendoakan agar bencana banjir yang melanda beberapa negeri pada ketika ini tidak berpanjangan,” kata kenyataan itu.
Sementara itu menerusi ruang komen, rata-rata netizen melahirkan rasa syukur mereka apabila Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong masih tidak henti menyalurkan sumbangan.
Malah, kebanyakan mereka mendoakan supaya Seri Paduka Baginda berdua sentiasa dirahmati Tuhan.