Bekas ratu cantik yang kini semakin aktif dalam dunia lakonan, Sanjna Suri berbesar hati untuk menerima pelbagai tawaran watak termasuk wanita muslim dan berhijab.

Jelas Sanja yang juga wakil Malaysia untuk Miss Intercontinental 2017 dan Miss Supranational 2018, dia cuba memecahkan stereotaip dan pada masa sama menghormati semua agama.

Dalam pada itu, Sanjna juga sentiasa mencuba untuk mengasah skil lakonannya dengan berguru dengan beberapa pelakon serta mentor terkenal seperti Fauziah Ahmad Daud.

"Saya mula berlakon sejak 2018. Untuk industri hiburan Melayu, saya bermula sebagai watak sampingan dalam naskhah Pengantin Satu Malam di samping Amelia Henderson dan Nazim Othman.

"Sangat susah nak 'menembus' dunia hiburan tempatan kerana saya bukan Melayu. Saya selalu dapat watak bukan Melayu, watak wanita India atau wanita berdarah campuran.

"Saya nak pecahkan stereotaip terbabit kerana benar-benar berminat nak berada di pasaran arus perdana.

"Saya tak kisah cerita itu memerlukan saya memakai tudung, melakonkan babak aksi atau karakter tomboy.

"Saya 100 peratus terbuka menerima watak wanita muslim. Saya menghormati semua agama dan saya pun memang membesar dalam kalangan orang Islam.

"Sebagai pendatang baharu, saya tak boleh terlalu memilih dan mengambil tawaran yang datang, dalam masa yang sama, saya harap saya boleh memberikan kelainan," katanya.

Dalam pada itu, Sanjna akui teruja menantikan maklum malas peminat terhadap filem lakonannya, Mundey Kampung Dey yang ditayangkan di pawagam sejak 15 Disember lalu.

Filem yang mendapat dana Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (FINAS) ini diarahkan oleh Mansher Singh.

"Saya memegang watak heroin bernama Keeran. Apa yang menariknya, filem ini merupakan naskhah Punjabi tempatan pertama yang dihasilkan di Malaysia.

"Saya tak sangka lakonan saya mendapat respons positif media dari Pakistan. Mereka menggemari keserasian saya dan hero, Anwaar Beg Moghal.

"Saya teruja kerana filem ini juga berada dalam fasa perbincangan untuk ditayangkan di Pakistan. Saya berharap peminat dapat menyokong karya ini dengan menonton di pawagam," katanya lagi.

A post shared by Sanjna Suri (Sanju) (@sanjna_suri)


Undi bintang digital dan content kegemaran Top 5 anda di Gempak Most Wanted Awards 2022 di sini.