Walaupun sedang sarat hamil 8 bulan, penyanyi Datuk Seri Siti Nurhaliza, gigih menyiapkan rakaman vokal dan video muzik album terbaru beliau sebelum berehat untuk persediaan melahirkan dan berpantang.

Siti baru-baru ini melunaskan impian beliau untuk menghasilkan album kanak-kanak dengan melancarkan single Medley Klasik Siti 1 yang mengandungi lagu Buai Laju-Laju, Tepuk Amai-Amai, Suriram dan Bunga Matahari.

Single Medley Klasik Siti 1 merupakan lagu kanak-kanak yang sering dinyanyikan oleh Siti bersama rakan-rakan sewaktu tinggal di berek polis di Kuala Lipis, Pahang.

Nostalgia puluhan tahun lalu diabadikan oleh beliau di dalam sebuah lagu dan berharap agar anakanda Siti Aafiyah mengenal lagu kanak-kanak zaman beliau dahulu.

Beliau memberikan kepercayaan kepada penerbit muda, Pown Hasril bagi memberikan sentuhan baharu bagi penghasilan lagu Medley Klasik Siti 1.

Menurut Siti, penerbitan single dan album kanak-kanak ini merupakan usaha beliau bagi melestarikan lagu kanak-kanak klasik supaya terus diingati dan menjadi warisan generasi akan datang.

“Bagi saya lagu atau muzik kanak-kanak mempunyai impak positif bagi membantu perkembangan dan pembelajaran.

“Apa yang penting adalah mesej yang kita sampaikan di dalam sesebuah lagu. Anak-anak ini akan cepat belajar dan memahami, justeru dalam lirik lagu kanak-kanak termasuk olahan lirik terbaharu, saya memberikan mesej yang baik serta berguna,’’ ujar penyanyi berusia 42 tahun ini.

Lebih istimewa single terbaharu beliau mendapat kerjasama tajaan video muzik bagi memperkenalkan produk terbaharu keluaran Beausiti dan Wonderlab iaitu Beaukids.

Beaukids adalah rangkaian produk minuman terbaharu iaitu Minuman Jeli Aafiyah yang diperbuat dari puri strawberi.

Single ini juga telah dilancarkan di seluruh platform digital pada 18 Mac lalu sementara album lagu kanak-kanak berjudul Legasi akan dilancarkan pada 1 April.

Bagaimanapun Siti berharap agar album Legasi tidak disamakan dengan album komersil beliau yang lain.

“Penerbitan sebuah album komersil pasti tidak sama dengan album kanak-kanak yang lebih santai dan tentunya berbeza dalam banyak aspek serta pemilihan.

“Saya tetap mengutamakan kualiti muzik, bunyi dan gubahan yang baik dalam sesebuah lagu dan album Legasi mempunyai keseronokan yang tersendiri sewaktu di dalam studio.

“Apa yang penting, saya sangat berpuas hati dengan hasil kerja dan usaha yang dibuat oleh Pown Hasril selaku penerbit bersama pasukan kerjanya,’’ tambah beliau.

Penjualan pre-order CD fizikal dan boxset di SNP On Pay iaitu platform perniagaan online milik Siti Nurhaliza Productions sudah bermula 18 Mac 2021. Penghantaran CD kepada pelanggan pula bermula 1 April 2021.

Bagi pasaran single Medley Klasik Siti 1 dan album Legasi di saluran digital, pihak Siti Nurhaliza Productions telah menjalinkan kerjasama dengan Universal Music Sdn.Bhd. sebagai pengedar.

Album Legasi mengandungi 7 buah lagu dan mempunyai 9 buah track termasuk intro dodoian atau lullaby.

Di dalam album ini, Siti turut menghasilkan sebuah lagu buat anak yang bakal dilahirkan yang diberi judul Anakanda.

Sebuah lagi lagu ciptaan beliau sebelum ini iaitu Comel Pipi Merah turut dimuatkan di dalam album ini.

Lain-lain lagu adalah Anakku Sayangku (lagu asal Anakku Sazali), Medley Klasik Siti 2, Bintang Kecil dan Burung Kakak Tua.