Laman Utama
Sarawak Tidak 'Lockdown' Sektor Ekonomi dan Sosial, Kekal PKP
Sarawak tidak melaksanakan 'total lockdown' kepada sektor ekonomi dan sosial seperti yang diputuskan Majlis Keselamatan Negara (MKN).
Bagaimanapun akan kekal dengan keputusan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula esok.
Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Kesenian Negeri, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, sehingga petang Jumaat tiada ketetapan baharu dibincangkan oleh Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak.
"Kita berbeza dengan Semenanjung. Kita tidak boleh tutup sektor ekonomi," katanya ketika dihubungi Astro AWANI pada Jumaat.
Lewat petang Jumaat, Pejabat Perdana Menteri mengeluarkan kenyataan kerajaan memutuskan untuk melaksanakan penutupan penuh sektor sosial dan ekonomi ataupun ‘total lockdown’ Fasa Pertama di seluruh negara bagi tempoh 14 hari bermula 1 hingga 14 Jun 2021.
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata sepanjang tempoh ini semua sektor tidak dibenarkan untuk beroperasi kecuali sektor ekonomi dan perkhidmatan perlu (essential economic and service sector) yang akan disenaraikan oleh MKN.
Keputusan ini dibuat selepas mengambil kira situasi terkini penularan COVID-19 di Malaysia dengan jumlah kes harian telah melebihi 8,000 kes dan kes aktif melebihi 70,000 kes.
Setakat hari ini, seramai 2,552 orang telah meninggal dunia akibat wabak ini dan jumlah kematian semakin meningkat, katanya.
Foto/Sumber: Astro Awani