Hiburan
Sarung Cincin Di Jari Manis, Raja Ilya Nafi Sudah Bertunang
Sebentuk cincin yang tersarung di jari manis pelakon Raja Ilya ketika menghadiri majlis tayangan filem Soulmate Hingga Jannah pada Selasa menarik perhatian pihak media.
Umum mengetahui Ilya kini sedang menjalinkan hubungan dengan seorang jejaka yang berasal dari Australia. Adakah cincin itu merupakan tanda yang Ilya sudah pun bertunang dengan jejaka pilihan hatinya?
“Saya akui cincin ini memang diberikan oleh si dia, namun ini bukanlah cincin tanda bertunang. Cincin ini hanya sekadar hadiah kepada saya.
"Saya masih belum lagi bertunang dengan dia. Soal jodoh, kita sebagai manusia hanya merancang. Buat masa ini, keutamaan saya adalah keluarga dan kerjaya saya," kata Ilya kepada Astro Gempak.
Berkenalan hampir tiga tahun dengan jejaka itu, Ilya masih belum bersedia untuk mendirikan rumah tangga.
"Kami menjalinkan hubungan jarak jauh, itu menjadi salah satu kerisauan saya. Saya berada di Malaysia, dia pula menetap di Gold Coast.
"Dalam keadaan sekarang, saya boleh katakan yang saya belum bersedia. Biar saya tumpukan dahulu kepada kerjaya. Keadaan kesihatan ibu saya juga tidak begitu baik, saya perlu mengutamakan ibu saya terlebih dahulu," katanya lagi.
Memegang watak utama dalam filem Soulmate Hingga Jannah, Ilya rasa bertuah kerana bergandingan bersama pelakon-pelakon lain seperti Erra Fazira, Taufik Batisah, Douglas Lim dan ramai lagi.
"Saya rasa sangat beruntung dapat berlakon disamping mereka, terutamanya Erra. Dia merupakan salah seorang pelakon senior yang sangat saya kagumi.
"Saya banyak belajar apabila melihat cara lakonan Erra. Saya berharap agar filem ini mendapat tempat di hati peminat," katanya.
Filem Soulmate Hingga Jannah terbitan FiTA Studios ini bakal ditayangkan di pawagam seluruh Malaysia, Brunei dan Singapura bermula 16 Februari 2017.
Teks oleh: Kamaruddin Razal