Laman Utama
“Satu Hal Yang Membuka Mata” - Aman Aziz, Anna Jobling Akui Tersentuh Ketika Turun Padang Bersihkan Rumah Mangsa-Mangsa Banjir
Minggu ini merupakan satu minggu yang ‘redup’ dalam kalangan rakyat Malaysia. Bermula dengan taburan hujan yang sangat lebat sekitar Jumaat sebelumnya, beberapa bahagian di sekitar Lembah Kelang dan juga Pahang serta Perak hilang ditenggelami air.
Puluhan ribu mangsa terlibat dengan tragedi ini. Tidak hanya terpaksa mengharungi sejuknya air bah, malah ada yang terpaksa menanggung kerugian akibat kerosakan harta benda termasuk tempat tinggal dan juga kereta.
Selain bantuan makanan, pusat perpindahan sementara dan juga bantuan perubatan, mangsa-mangsa banjir juga dilihat memerlukan pertolongan dalam proses pembersihan tempat tinggal mereka yang telah disalut lumpur.
Justeru, tidak hairan jika penyanyi Aman Aziz dan juga pelakon serta model Anna Jobling turut tidak ketinggalan membantu membersihkan rumah mangsa-mangsa banjir agar kehidupan mereka boleh diteruskan seperti biasa.
“Aman dan team turun ke Hulu Langat untuk bagi support dari segi fizikal dengan mengemas dan mengagihkan barang bantuan kepada mangsa-mangsa yang terjejas akibat banjir ni. Mereka happy sangat bila nampak ada orang tolong. Bila bagi bantuan pun mereka punya muka tersenyum. Ramai lagi volunteers yang ada dan kita appreciate sangat!
“Sebab benda ni nampak agak teruk tapi bila saya sendiri turun, saya nampaklah situasi ini teruk yang amat sebenarnya. Saya bersyukur dapat sumbangkan sedikit tenaga untuk ringankan beban mereka yang terlibat. Jom ramai-ramai bantu mereka yang terjejas akibat banjir ni,” tulis Aman di Instagramnya.
Sementara itu, Anna yang turut sama terlibat berkata, aktiviti membantu mangsa banjir merupakan satu hal yang membuka matanya.
“Melihat mereka yang terlibat akibat musibah banjir merupakan satu hal yang membuka mata. Tetapi, apa yang menginspirasikan adalah melihat mereka semua masih positif, sungguhpun mengalami banyak kehilangan
“Kawasan ini memang perlukan lebih banyak sukarelawan, lebih-lebih lagi melihat pada kawasan sekitar yang teruk terjejas,” ujarnya.
Selain Aman dan Anna, turut hadir memberikan sokongan adalah selebriti-selebriti seperti Amirul Asyhwad, Datin Nina Juren serta Dafi yang merupakan anak kepada Perdana Menteri Malaysia.
Must-Watch Video