Pelawak dan pelakon Atu Zero mendedahkan perangai sebenar bintang YouTube, Syahmi, Asif dan Yoe sepanjang penggambaran filem Syif Malam Raya.

Menurut Atu, tiga rakan baik itu sangat berbudi bahasa dan menghormati orang lain sehingga menjadi perhatian orang kampung.

“Mereka bertiga ini mempunyai daya tarikan tersendiri. Saya suka dengan sikap mereka yang tidak malu untuk bertanya mengenai sesuatu perkara sekiranya ada yang mereka tak faham.

“Kerap bertanya sampai kadang-kadang kita pula yang jadi segan. Lagi satu, mereka bertiga ini bila sampai sahaja set penggambaran memang sangat menghormati orang lain.

“Mereka juga mesra dengan semua orang sehinggakan orang kampung pun suka dengan mereka. Syahmi, Asif dan Yoe ini sangat bagus orangnya,” kata Atu sewaktu ditemubual Gempak.





Tambah Atu lagi, dia tertarik untuk menjadi sebahagian daripada Syif Malam Raya adalah disebabkan dapat bekerjasama dengan tiga rakan baik itu.

“Selain skrip, saya tertarik sebab Syahmi, Asif dan Yoe. Saya tahu mereka viral sebelum ini dan saya juga ingin mencari pengalaman baru dengan berlakon dengan orang-orang hebat mereka.

“Bayangkan sebaik sahaja mereka muat naik video di YouTube, jumlah tontonan pasti mencanak naik. Saya kagum dengan mereka.

“Sebelum ini saya pernah jumpa mereka, apa yang boleh saya katakana lawak mereka sangat jujur, orang kata jenis lawak yang memang tak boleh bawa bincang.

“Dan sepanjang penggambaran, mereka memang banyak membantu dari segi lawak dan juga lakonan,” jelas Atu.

Selain Atu, Syif Malam Raya juga turut menampilkan Sharif, Syaiful, Syahmi, Asif, Yoe, Danial Lawak Solo, Ropie, Saiful Apek, Azlee Senario, dan juga aktres Reen Rahim, Emelda Rosemila, Nadia Brian, Lia Natalia serta Shiela Mambo.

Jangan lupa untuk sewa filem raya, Syif Malam buat pertama kalinya ditayangkan terus di pawagam rumah anda, Astro First di saluran 480.

Dengan hanya RM15, penonton boleh menonton Syif Malam Raya selama 48 jam (2 hari) secara berulang-ulang.

Untuk mendapatkan info terkini mengenai filem Syif Malam Raya, sila layari Instagram, Facebook dan Twitter Astro Shaw.

Sinopsis:

Kisah Syif Malam Raya bermula apabila cuti raya Zaid (Atu) dan Hisyam (Sharif) tidak diluluskan dan mereka ditugaskan untuk menghantar satu mayat ke Ipoh pada malam Aidilfitri.

Mereka turut menumpangkan Mira dan Yoh untuk pulang beraya ke kampung halaman mereka dengan menaiki van jenazah mereka.

Kejadian aneh mula berlaku, dan kekecohan timbul apabila mereka tiba di sebuah kampung yang dihantui pocong.