Pelakon Zila Bakarin meluahkan kebimbangannya akan nasib golongan ibu bapa yang tidak mampu menyediakan peranti dan kemudahan untuk meneruskan proses Pengajaran dan Pembelajaran Di Rumah (PdPR) secara online kepada anak-anak.

Bahkan, kata Zila, lebih merisaukan apabila menerusi pemerhatian terhadap anak-anaknya yang kini turut mengikuti pembelajaran secara online, dia mendapati jumlah bilangan murid kelas yang 'muncul' juga tidak ramai seperti yang sepatutnya.

"Dah beberapa hari anak-anak kelas online. Bila sama-sama dengan mereka masa online, aku tengok tak ramai juga murid yang ada.

"Setahu aku, satu kelas lebih kurang 22 orang. Mana yang lain? Hari itu aku terbaca seorang ibu beritahu cikgu, anak dia tak boleh online sebab telefon ada satu ibu itu punya, anak ada tiga. Macam mana tu cikgu?," kongsinya menerusi satu hantaran di Instagram.

Menurut Zila lagi, sebagai ibu bapa, dia amat memahami dilema yang terpaksa dilalui oleh mereka yang mungkin datang daripada keluarga kurang berkemampuan.

"Mulalah terfikir, kalaulah aku mampu bantu. Itu seorang, berapa ramai lagi yang tak mampu sediakan telefon, tab atau laptop untuk anak-anak online dan belajar.

"Itu kita cerita fasal gajet, WiFi? Semua itu duit! Pada yang mampu tak rasa, duit 80 keturunan boleh hiudp, pada yang tak? Itu baru cerita fasal pembelajaran anak-anak, tak masuk yang lain lagi #kamiperlukerja," coretnya.

BACA: Zila Bakarin Dedah Tiada Job Selepas Bertudung

Di ruangan komen, rata-rata bersetuju dengan apa yang diperkatakan Zila, bahkan ada yang mengakui melalui nasib yang serupa.

"Dah beritahu cikgu pun tak ada tindakan, kami ni pakai top up (isian semula), bukan pakai WiFi dan line, tapi entahlah," luah seorang netizen.

"Betul tu kak, macam saya ni anak tiga bersekolah, telefon ada satu, cikgu bagi latihan perlu siapkan sehingga jam 4.30 petang, tapi saya balik kerja pukul 6 petang," komen salah seorang pengikutnya.

Zila mendirikan rumah tangga dengan Azri Izhar pada 2008 dan dikurniakan dua cahaya mata Kaseh, 13 dan Chinta, 10.