Aksi cemerlang yang dipamerkan penerjun negara, Nur Dhabitah Sabri dalam pusingan akhir acara 3 meter (m) papan anjal individu Olimpik Tokyo 2020 semalam masih hangat diperkatakan.

Masakan tidak, seluruh Malaysia ikut berbangga dengan kedudukan keempat yang diraih Dhabitah daripada 12 penerjun terbaik dunia. Bukan calang calang dan tak mudah ya untuk berada dalam kelompok ini!

Salah seorang yang ikut berbangga dan memberikan kata semangat buat atlet berusia 22 tahun ini adalah legenda badminton negara, Datuk Lee Chong Wei.

Menerusi tangkap layar yang dimuat naik menerusi Instagram Story milik Dhabitah, atlet ini menerima kata semangat dan pujukan comel daripada Lee Chong Wei yang disifatkan olehnya sebagai tidak pernah tak kelakar.

"Jangan menangis, anda telah melakukan yang terbaik, hugs", tulis Lee Chong Wei dalam bahasa Inggeris.

Beliau kemudian dilihat meninggalkan komen berunsur humor untuk menceriakan hati Dhabitah.

"I rasa mereka sembah dolphin pagi tadi, tak aci," tulisnya.

Namun demikian, Lee Chong Wei dilihat terus memuji persembahan mantap Dhabitah yang hanya kekurangan sekitar 17 mata untuk meraih gangsa dalam temasya dunia itu dengan menekankan betapa hebatnya atlet tersebut.

"Jokes aside, you are awesome! Dhabitah Sabri," katanya lagi.

Terharu dengan sokongan Lee Chong Wei, Dhabitah dilihat meninggalkan komen: "Datuk LCW always funny."

Ironi, bukan hanya Lee Chong Wei, para atlet negara dan barisan selebriti yang berbangga dengan pencapaian Dhabitah dalam penampilannya di temasya yang berlangsung di Tokyo itu.



Gadis yang cukup ikonik dengan senyumannya ini turut mendapat kata semangat daripada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yasssin yang mengucapkan tahniah kepadanya menerusi satu hantaran di Facebook rasminya.

Menyifatkan aksi Dhabitah sebagai mengagumkan dan berasa menduduki tangga keempat terbaik penerjun dunia sebagai pencapaian yang perlu dibanggakan, beliau meninggalkan pesanan manis buat atlet negara ini.

""Senyumlah Nur Dhabitah," katanya yang juga mengatakan atlet ini akan mampu melakar lebih banyak kejayaan pada masa akan datang.

Terdahulu, persembahan Dhabitah yang sentiasa tenang dan tersenyum mendapat perhatian dunia.

Biar tidak membawa pulang sebarang pingat, namun Dhabitah tidak berasa dirinya telah tewas.

Dengan tangis bahagia, dia sebaliknya mengaku berjaya membawa pulang pengalaman berharga di Olimpik Tokyo 2020 dan hal yang paling dibanggakan olehnya adalah sifat juang diri yang tinggi serta pengorbanan para jurulatih bersamanya yang sempat hilang semangat sebelum menyertai temasya tersebut.

Kredit Foto: Getty Images, Astro Arena
Instagram: dhabitah_sabri