Penampilan pengacara Uyaina Arshad ketika menjadi hos jemputan program hiburan MeleTOP Selasa lalu mendapat pujian warganet.

Tampil bergandingan dengan Nabil Ahmad, skil Uyaina mengendalikan rancangan hiburan popular itu mendapat pujian netizen di laman Instagram MeleTOP.



Ketika dihubungi oleh Gempak, Uyaina mendedahkan dia gementar untuk menggalas tugas sebagai hos jemputan program terbabit.

"Sebenarnya, saya gemuruh juga. MeleTOP merupakan satu program besar dan semenjak Neelofa mengundurkan diri, setiap minggu MeleTOP tampilkan pengacara wanita undangan.

"Sudah tentu cara pengacaraan akan menjadi perbandingan netizen. Ada yang mengecam, ada juga yang memuji. Begitulah yang terjadi setiap minggu," katanya.

Tambah bintang drama bersiri Jujurlah Nikahi Aku ini, dia tidak memikirkan sangat mengenai pujian yang datang, sebaliknya dia rasa lega selepas selesai menjalankan tugas sebagai hos jemputan MeleTOP.

"Sejujurnya, saya hanya rasa lega selepas selesai mengacarakan program ini. Perasaan tu lebih banyak saya fikirkan berbanding perkara lain. Alhamdulillah," kata Uyaina lagi.

Ketika ditanya adakah dia bersedia untuk menjadi hos tetap MeleTOP sekiranya ditawarkan, Uyaina menyambut positif cadangan terbabit.

"Kalau diberi peluang, apa salahnya, kita cuba," jawab Uyaina ringkas.

Saksikan ulangan drama bersiri Jujurlah Nikahi Aku lakonan Uyaina pada telefon pintar anda melalui aplikasi Astro GO. Muat turun aplikasi Astro GO di Google Play dan Apple Store sekarang!