Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!

“Saya Ada Maruah Yang Perlu Dijaga…” - Bernard Chandran Tak Bayar Lady Gaga Untuk Pakai Rekaannya

Gempak
05/07/2024 12:55 MYT
Lebih dari 30 tahun berada dalam industri fesyen, pereka fesyen Bernard Chandran, berkongsi pengalaman ketika penyanyi terkenal antarabangsa, Lady Gaga menggayakan rekaan bajunya.


Agensi Lady Gaga minat rekaan Bernard


Menurut Bernard, dia tidak membayar Lady Gaga untuk menggayakan bajunya namun pihak agensi penyanyi itu sendiri yang datang berjumpa dengannya kerana meminati rekaannya.

“Saya cipta rekaan pada setiap musim. Saya reka apa yang saya rasa nak. Jadi, agensi mereka yang datang berjumpa dengan saya dulu. Pada masa itu, saya bertanya siapa Lady Gaga yang membuatkan saya perlu tahu kenal siapa wanita itu.

“Saya tanya pasukan saya (PR team) sama ada mereka suka atau tidak. Jadi, saya tidak bayar mereka untuk memakai baju rekaan saya. Kalau mereka berminat dengan rekaan saya, mereka boleh tempah baju dengan saya.

“Saya ada maruah yang perlu dijaga. Sama seperti yang dikatakan saya ada klien yang besar membuatkan saya perlu menjaga hasil karya saya. Saya tidak akan bertolak ansur disebabkan dia seorang yang terkenal,” katanya kepada Gempak.


Kongsi keperibadian Lady Gaga


Dalam pada itu, Bernard turut berkongsi mengenai keperibadian Lady Gaga yang dianggap seorang sangat hebat.

“Lady Gaga seorang yang sangat hebat. Kami berkolaborasi bersama tapi semua koleksi itu semua dari hasil karya saya,” ujarnya.


Selain Lady Gaga, Bernard memberitahu dia pernah bekerjasama dengan selebriti dari China yang juga Duta Setiakawan Pelancongan Melaka, Fan Bingbing baru-baru ini.

“Baru-baru ini, saya pernah mereka baju yang cantik untuk Fan Bingbing. Sesiapa datang untuk melihat hasil karya yang kami jual.

“Jika mereka suka dengan rekaan baju itu mereka boleh membelinya tapi saya menghantar pasukan saya (PR team) untuk uruskan segalanya,” katanya.


Bernard Chandran 30 Years in Malay Contemporary Fashion Event


Berkongsi mengenai Bernard Chandran 30 Years in Malay Contemporary Fashion Event yang berlangsung di pada Khamis, Bernard berkata pameran itu mengumpulkan lebih dari tiga ribu karyanya selama 30 tahun dalam industri fesyen.

“Pameran ini adalah sesuatu yang saya suka lakukan. Bukanlah sesuatu yang saya kena buat. Walau bagaimanapun, saya dapat je ruang untuk pamerkan karya saya. Untuk kalini, saya pamerkan rekaan baju saya yang terkumpul lebih dari 3 ribu karya saya selama 30 tahun bekerja.

“Untuk fesyen kalini, saya tampilkan konsep melayu kontemporari yang mudah dipakai dimana hanya satu zip sudah boleh pakai baju kebaya. Saya terinspirasi dengan seorang wanita yang memakai baju kurung bersama jaket dan tudung di dalam. Jadi, saya satukannya dan ia kelihatan kemas dan teliti,” ujarnya.


Bernard berkata, dia juga menggabungkan pelbagai jenis kain termasuklah kain untuk lelaki serta batu kerongsang yang diletakkan di atas baju.

“Koleksi ini menggabungkan pelbagai jenis kain yang terinspirasi dari pakaian lelaki. Contohnya, saya ada membuka butik pakaian lelaki Figure Menswear by Bernard Chandran. Saya bekerja dengan pelbagai jenis kain lelaki. Seperti yang dilihat banyak baju kurung saya dipakai dengan baju t-shirt dan banyak lagi.

“Yang paling penting adalah keseimbangan baju itu. Ini kerana, koleksi kali ini banyak memakai batu-batu kerongsang yang pernah rosak dikumpul sejak saya umur 19 ke 20 tahun tapi dibaiki di Taiwan dan Jepun.

“Itulah masa-masa saya selama 30 tahun berada dalam industri fesyen. Jadi semua batu-batu kerongsang itu dibaiki dan diletakkan diatas baju kurung, baju kebaya dan baju kot,” katanya.
#Lady Gaga #Bernard Chandran #Fan Bingbing
;