Datuk Dr Sheikh Muszaphar mengakui bahawa dia sudah mempunyai senarai yang panjang untuk mendidik anak-anaknya terutama kembar yang baru dilahirkan mengikut peringkat usia mereka.

Perkara tersebut dikongsikan oleh Sheikh Muszaphar di Instagram miliknya dan merangkumi setiap aspek kehidupan bermula seawal tiga tahun.

"Dalam membesarkan anak-anak, kami cuba untuk merangkumkan kesemua aspek daripada pembelajaran, sukan, pemikiran lateral, penggunaan otak kiri dan kanan, bijak dalam matematik dan sains, pakar bahasa, dan yang paling utama mempunyai nilai-nilai hidup yang baik - penyayang, mengambil berat, empati kepada yang lain dan mempunyai sikap hormat menghormati.

"Sebagai ibu bapa, sangat penting untuk menerapkan ciri-ciri ini sejak dari kecil lagi. Kita bentuk mereka sebagaimana yang kita rasakan sesuai untuk menjadikan mereka mencapai yang terbaik untuk diri mereka," tulis Sheikh Muszaphar dalam Bahasa Inggeris.



Tambahnya lagi, anak-anak bergantung kepada ibu bapa untuk mempunyai tingkah laku dan segala keperluan yang betul. Mereka juga bergantung kepada ibu bapa untuk pengetahuan serta bimbingan dan menjadi tanggungjawab ibu bapa untuk menyediakannya.

"Tetapi kita terlebih dahulu harus mempunyai pengetahuan ini dan kita memerlukan perancangan untuk melaksanakannya. Pastikan ada pelan jangkap pendek, jangka pertengahan dan jangka panjang untuk mencapai matlamat buat anak-anak kita.

"Matlamat saya untuk anak-anak adalah memulakan mereka dengan kelas Bahasa Mandarin pada usia 3 tahun, belajar berenang pada usia 3 tahun, memulakan dengan matematik dan boleh membaca pada usia 4 tahun, mula bermain alat muzik pada usia 5 tahun, khatam Al-Quran paa usia 6 tahun, tali pinggang hitam untuk Taekwando pada usia 8 tahun serta berjaya dalam pelajaran, sukan dan kesemua yang mereka usahakan," tulisnya panjang lebar.



Sheikh Muszaphar juga merancang untuk menghantar kembar mereka ke sekolah Cina dan sekolah Agama bermula pada tahun pertama persekolahan, selain memberikan mereka motivasi untuk menjadi doktor.

"Dan saya masih lagi ada senarai panjang untuk mereka bila umur mereka mencecah 12 tahun, 18 tahun, 25 tahun dan 28 tahun.

"Kita hanya merancang tetapi Allah adalah sebaik-baik Perancang. Namun saya percaya dengan ajaran yang baik serta doa, InsyaAllah semuanya boleh berjalan mengikut perancangan," tulis Sheikh Muszaphar lagi.

A post shared by Dr Sheikh Muszaphar Shukor (@drsheikhmuszaphar)


Datuk Dr Sheikh Muszaphar dan isterinya Datin Dr Halina Mohd Yunos selamat menimang cahaya mata kembar yang lahir pada 20 November lalu.

Pasangan kembar yang merupakan anak kelima dan keenam mereka dinamakan Sheikh Eusoff dan Sophea Emelia.