"Saya Adalah Penyanyi Yang Sendu..." - Ada Sebab Erul Samah 'Join' Ujibakat Raise The Star Malaysia
Penyanyi dan pencipta kandungan, Erul Samah mengakui antara sebab dia menyertai ujibakat program Raise The Star Malaysia kerana mahu kembali ke dunia nyanyian selepas 10 tahun meninggalkan karier seninya.
Menurut Erul atau nama sebenarnya, Khairul Najmuddin Abu Samah, 33, dia menyertai pertandingan ini bukan sekadar untuk bersaing tetapi demi mendapatkan lagu baharu yang mampu mengubah perjalanan karier seninya.
“Secara jujurnya, saya memang tidak ada lagu yang hit dan saya adalah seorang penyanyi yang sendu membuatkan saya perlukan lagu. Sebab itulah saya masuk pertandingan Raise The Star Malaysia ni.
“Saya rasa ramai juga yang bersetuju bila orang kata saya ni penyanyi yang sendu. Memang betul saya penyanyi yang sendu. Jadi, saya perlukan satu lagu yang boleh mengubah perjalanan karier seni saya yang dah lama ni.
“Mungkin saya rasa ini adalah platform yang terbaik untuk saya berubah dan kembali fokus pada bidang nyanyian,” katanya kepada Gempak.
Erul berkata demikian ketika menghadiri sesi ujibakat tertutup Raise The Star Malaysia yang berlangsung di Studio A, Astro Bukit Jalil pada Rabu.
Tambahnya lagi, dia juga mengakui dia pernah membeli sebuah lagu namun sambutan lagu tersebut tidak mendapat sambutan yang hangat. Itulah antara sebab kenapa dia memasuki ujibakat Raise The Star Malaysia kali ini.
Bagaimanapun, Erul juga yakin orang ramai sudah lagi tidak mengenalinya sebagai seorang penyanyi malah mereka lebih mengenalinya sebagai Raja Komen di media sosial.
“Saya juga pernah beli lagu sebelum ini dan tidak menjadi dan kos beli lagu itu bukanlah murah. Bila tengok rancangan ini, barisan juri bukanlah biasa biasa. Semuanya ternama sebab itulah saya memilih untuk mencuba sahaja uji bakat ini.
“Lagipun, orang ramai sudah lupa yang saya ini adalah seorang penyanyi. Bila saya jumpa orang yang mengenali saya, mereka hanya kenal saya sebagai Raja Komen, pencipta kandungan dan sebagainya. Jadi, bila saya dapat peluang ini, apa kata saya perlu ambil serius kembali dunia nyanyian saya,”kongsinya
Sekadar info, Erul Samah merupakan bekas peserta Akademi Fantasia 9 namun perjalanannya dalam program tersebut terhenti kerana dia tersingkir di separuh akhir disebabkan undian SMS pada ketika itu tidak menyebelahi dirinya.