Penyanyi baharu, Adzrin akui agak terkilan apabila lagu nyanyiannya Bukan Yang Terbaik digunakan tanpa pengetahuan dalam drama Bukan Cinta Aku.

Menurut Adzrin, 19, sekurang-kurangnya pihak produksi perlu memberitahunya atau syarikat rakaman, Virtuosity Production sebelum ia digunakan sebagai lagu dalam drama tersebut.

“Saya hanya mengetahui lagu itu dimainkan dalam drama tersebut selepas ada seorang rakan menghubungi saya dan memberitahunya.

“Saya terkejut kerana saya difahamkan pihak syarikat rakaman pun tidak diberitahu mengenai perkara itu.

“Malah saya agak terkilan kerana sekurang-kurangnya, pihak produksi perlu beritahu pihak kami terlebih dahulu.

“Meskipun ia secara tidak langsung memberi publisiti kepada lagu saya, tetapi jika mereka beritahu lebih awal setidak-tidaknya saya boleh membantu mempromosikan di laman sosial,” katanya kepada Gempak.

Lagu Bukan Yang Terbaik dimainkan dalam salah sebuah episod drama siri popular lakonan Janna Nick dan Baim Wong yang bersiaran baru-baru ini.

Pun begitu, Adzrin memberitahu pihak syarikat rakaman telah mengambil langkah untuk menghubungi pihak yang berkaitan.

“Saya difahamkan, mereka sudah memberitahu mengenai isu tersebut kepada pihak stesen televisyen yang menyiarkan drama tersebut dan saya tidak pasti sama ada sudah ada maklum balas dari pihak mereka atau tidak,” katanya lagi.

Adzrin yang popular dengan lagu ‘cover’ itu mempertaruhkan single pertamanya Bukan Yang Terbaik sejak setahun yang lalu.

Lagu tersebut mendapat sambutan hebat pelayar laman YouTube selepas ia berjaya mencapai sehingga lebih 4 juta tontonan.