Pelumba MotoGP negara, Hafizh Syahrin Abdullah meluangkan masa untuk menziarahi keluarga pelumba Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS 2018, Mohd Hafiz Nor Azman maut selepas dipercayai terbabit dalam kemalangan ketika perlumbaan di Bandar Penawar, Kota Tinggi, semalam.

Menerusi entri di Insta Stories, Hafizh berjanji akan membawa semangat arwah untuk perlumbaannya di World Championship pada musim depan.

"Kuatkan semangat ye Abang Azman, Allah lebih sayangkan Hafiz. Dia seorang yang rendah diri dan terima pendapat orang lain.

"Semoga dia tenang disana dan ditempakn bersama orang-orang yang beriman, Amin.

"Saya akan bawa semangat Arwah di World Championship," tulisnya.


Mohd Hafiz Nor Azman maut selepas dipercayai terbabit dalam kemalangan ketika perlumbaan di Bandar Penawar, Kota Tinggi, petang Ahad.


Pemergian Mohd Hafiz itu disahkan Malaysian Cub Prix yang memuat naik gambar pelumba muda berusia 22 tahun itu menerusi laman rasmi Facebook mereka, kira-kira 8.45 malam Ahad lalu.

Terdahulu, khabar angin mengenai pemergian Allahyarham beserta video berdurasi 42 saat yang dipercayai menunjukkan detik-detik akhir sebelum terjadi kemalangan menjadi tular di laman sosial Facebook.