Penyanyi Jaclyn Victor lebih selesa untuk mengekalkan genre nyanyian yang sudah sebati dengannya sebelum ini.

Menurut Jac, dia hanya akan mencuba genre berbeza jika berkolaborasi dengan penyanyi lain.

"Saya akan tampil dengan sebuah lagu terbaru tidak lama lagi dan akan masuk studio untuk proses rakaman tidak lama lagi.

"Lagu baru ini masih dalam genre pop dan dinyanyikan oleh saya tanpa menampilkan penyanyi lain, jadi sebab itulah genre itu dekekalkan.

"Kalau saya mahu lakukan sesuatu yang berbeza dalam lagu saya, seperti mencuba genre baru atau sebagainya, saya akan lakukannya menerusi duet bersama penyanyi lain," kata Jac kepada Gempak.

Jac berkata demikan ketika ditemui di sesi penggambaran Kempen Saya Anak Malaysia 2020 di Dataran Merdeka pada Ahad.

Kempen ini merupakan satu inisiatif kerjasama antara Kementerian Perpaduan Negara dan Universiti Utara Malaysia untuk terus memartabatkan perpaduan di negara kita sempena Hari Malaysia tidak lama lagi.

Tambah Jac, jika tampil dengan genre berbeza, kolaborasi bersama penyanyi lain juga membuatkan dia selesa untuk melihat penerimaan peminat.

"Penerimaan peminat akan diketahui dari hasil kolaborasi tersebut, bagi saya, ia lebih baik daripada saya tiba-tiba tampil dengan genre berbeza secara berseorangan.

"Saya pernah cuba pelbagai jenis lagu dengan penyanyi lain sebelum ini, jadi saya akan kekalkan cara sebegitu," tuturnya menutup bicara.