Bekas vokalis utama kumpulan Exists, Mamat mengakui mempunyai hasrat untuk memasuki pusat pemulihan bagi mendapatkan rawatan ketagihan dadah.

Menurut Mamat, dia telah menyimpan hasrat tersebut sejak setahun yang lalu untuk mendapatkan rawatan namun disebabkan tiada dorongan daripada orang sekeliling, dia terpaksa melupakan hasratnya itu buat seketika.

"Saya dah berubah sejak setahun lalu dan menyimpan hasrat untuk masuk pusat pemulihan, namun waktu itu tiada dorongan kuat diterima.

"Sekarang ini selepas saya mendapat dorongan yang kuat daripada kawan-kawan dan keluarga, saya akan mendapatkan rawatan sebaik sahaja konsert kami selesai nanti.

"Selepas ini, saya kena berhati-hati dalam memilih kawan supaya dapat kembali ke pangkal jalan dan tidak lagi terjebat dengan kesalahan yang sama lagi selepas ini.

"Apapun, saya berharap agar orang ramai dapat mendoakan saya dan sekali lagi saya memohon maaf pada semua peminat yang menyokong saya sehingga sekarang," katanya kepada Gempak.

Mamat berkata demikian pada majlis sedang media bersama Exists di Alila Bangsar, pada Khamis.

Terdahulu, Mamat ditahan polis atas kesalahan dadah pada Ahad malam dan dibebaskan daripada tahanan reman dengan jaminan polis sekitar pukul 4.30 petang Selasa.

Penahanan Mamat, 41, itu difahamkan ada kaitan dengan kesalahan dadah jenis syabu semasa menunggang motosikal bersama seorang rakannya di luar kawasan rumah kedai di Taman Perling di Johor Bahru, pada Ahad lalu.

Penahanan kedua-dua mereka pada 11.30 malam itu dilakukan selepas dilihat dalam keadaan mencurigakan ketika menunggang sebuah motosikal Yamaha LC 135 di kawasan terbabit.

Serbuk putih disyaki dadah itu ditemui dalam dompet penyanyi berkenaan.

Konsert Exists Reunion ini buat pertama kalinya dalam sejarah menggabungkan semua formasi asal Exists iaitu Musa (bass), Along (gitar), Ajai (keyboard), Shah (gitar), Ujang (dram) dan dua vokalist iaitu Mamat dan Ezad.

Konsert Exists Reunion bakal diadakan di Stadium Malawati, Shah Alam pada 28 September 2019 dan Mes Theatre at Media Corp, Singapura pada 5 Oktober ini.

Orang ramai yang ingin mendapatkan tiket Konsert Exists Reunion ini boleh melayari laman web www.mytiket.asia.

Tiket dijual pada harga RM 700, RM360, RM260, RM160 dan RM130.