Seorang lelaki di Jepun tegar mengunjungi beberapa bar meskipun menyedari mendapati dia sudah dijangkiti COVID-19.

Walaupun tanpa gejala, lelaki tersebut dikesan positif di hospital di bandar Gamagori, Jepun pada Rabu berikutan ibu bapanya disahkan positif COVID-19.

Lelaki berusia 50-an itu kemudiannya diberitahu untuk mengkuarantin diri di rumah dahulu sehingga pihak hospital mendapatkan tempat di fasiliti perubatan yang sesuai untuknya pada keesokan hari.

Memetik laporan Fuji News Network (FNN), lelaki itusebaliknya mengambil keputusan untuk mengunjungi dua bar di bandar pesisir pantai itu selepas memberitahu ahli keluarganya, “Saya akan menyebarkan virus tersebut.”

Menurut laporan Tokyo Reporter, lelaki itu kemudiannya menaiki teksi ke sebuah Bar Izakaya sebelum berjalan ke Bar Filipina.

Selepas menjamu selera dan minum beberapa minuman beralkohol, lelaki itu dilaporkan mendedahkan kepada pelanggan-pelanggan lain bahawa dia disahkan positif COVID-19.

Seorang pekerja di bar itu membuat panggilan kepada pihak berkuasa kesihatan tempatan.

Pihak polis hadir berpakaian pakaian pelindung tiba di bar kedua itu, namun lelaki itu sudah pulang ke rumah dengan menaiki teksi.

Lelaki berkenaan dilaporkan dihantar ke fasiliti perubatan pada hari berikutnya.

Seorang pegawai bandar memberitahu FNN bahawa kedua-dua bar itu telah didisinfeksi dan disteril manakala pekerja dan pelanggan pula diuji untuk koronavirus.

“Ia sesuatu yang sangat dikesali kerana lelaki berkenaan tidak tinggal di rumah, seperti yang diarahkan,” kata Datuk Bandar, Toshiaki Suzuki.

Untuk rekod, Jepun merekodkan lebih 1,000 kes positif COVID-19, termasuk penumpang di dalam kapal persiaran Diamond Princess.

Sumber: Astro Awani