Sebelum ini, penyanyi Kaka Azraff pernah mendedahkan suaminya, Adam Azriff meghidap masalah kecelaruan bipolar dan Obsesif Kompulsif (OCD).

Namun begitu, ada segelintir netizen yang tidak bertanggungjawab memberikan komen negatif terhadap masalah yang dihadapi oleh suaminya.

Ketika dihubungi Gempak, Kaka menjelaskan gangguan yang dihadapi suaminya itu tidaklah seteruk yang disangka oleh segelintir pihak.

Sebaliknya, ia merupakan masalah yang sering dihadapi oleh masyarakat masa kini.

"Sebenarnya, depresi bukanlah satu perkara yang janggal dalam kalangan masyarakat sekarang, cuma kadang-kadang sesetengah orang tidak menyedari dengan jelas yang mereka mengalami depresi.

"Sebagai isteri, saya akan sentiasa menyokong, membantu dan belajar, kerana dia betul-betul memerlukan perhatian.

"Saya tak pernah takut, dia bukan gila pun, ia bukanlah satu masalah yang besar untuk saya.

"Lagipun dia sudah menjalani rawatan psikologi dan sudah lapan bulan berhenti dari pengambilan ubat kerana keadaanya semakin baik" ujarnya.

Dalam pada itu, Kaka turut menyatakan dia bersikap terbuka mengenai isu ini dan ingin memberi pendedahan kepada masyarakat yang senasib dengannya.

"Saya memang bersikap terbuka mengenai perkara ini, saya mahu mendidik golongan yang berhadapan perkara yang sama dengan saya.

"Kita sendiri yang harus sedar dan memberi sokongan positif kepada mereka yang mengalami gangguan depresi," tambahnya lagi.

Kaka dan Adam selamat bernikah pada 14 Disember lalu di kediaman keluarga Kaka di Klang, Selangor dalam sebuah majlis tertutup.