“Saya Akan Tahu Dia Sound Check Sebab Gelak Tu” - Nikki Palikat Rindu Tawa Adibah Noor
Mya Amri
23/06/2022 02:31 MYT
23/06/2022 02:31 MYT
Penyanyi Nikki Palikat akui akan merindui segala kenangan manis bersama Allahyarham Adibah Noor.
Bertanding bersama dalam program GegarVaganza 8 (GV8), Nikki berkongsi antara kenangan akan dirindunya adalah sikap arwah yang periang dan juga gelak tawanya.
“Gelak dia… Saya akan tahu dia tengah sound check sebab dia punya gelak. Yang itu saya akan sangat rindu.
“Sebab sewaktu pertandingan kita akan rasa tertekan dan gelak tawanya itu yang membuatkan semua orang rasa tenang.
“Buat kami rasa bukan dalam pertandingan. Dia sebenarnya punca yang menjadikan kami semua seperti satu keluarga dalam GV8,” katanya ketika ditemui Gempak.
Mengulas mengenai keperibadian Allahyarham, Nikki berkata Adibah merupakan seorang yang sangat penyayang dan percaya dengan bakat dimilikinya.
“Dia seorang yang penyayang dalam tegas. Dia juga selalu memberikan semangat pada saya.
“Yang membuatkan saya rasa paling sebak sebab sewaktu dalam GV8, dia sangat percaya bakat saya.
“Saya juara mingguan tiga kali dan setiap kali saya juara, sebelum itu dia akan tarik saya ke sebelah dan bisik awak adalah nombor satu malam ini.
“Atau pun dari jauh dekat atas pentas dia akan memberikan isyarat tangan yang menunjukkan nombor satu dan ramalannya selalu tepat.
“Dia selalu beritahu saya bahawa saya adalah juara di hatinya tidak kira apa pun,” ujarnya.
Terdahulu, Nikki dan Adibah merupakan antara bintang GV8 yang mendapat perhatian ramai sepanjang program itu bersiaran.
Adibah atau nama sebenarnya, Adibah Noor Mohd Omar menghembuskan nafas terakhir di Hospital Gleneagles akibat penyakit kanser ovari tahap empat, pada 18 Jun 2022.
Arwah juga tidak memaklumkan tentang keadaannya yang menderita kanser Ovari tahap kepada umum.
Jenazah arwah dimandi dan disembahyangkan di Masjid Al-Ansar, Taman Keramat, Kuala Lumpur, sekitar jam 9 pagi Ahad.
Lebih 100 orang termasuk rakan artis dan penggiat seni hiburan tanah air hadir memberi penghormatan terakhir.
Antaranya Datuk Afdlin Shauki, Datuk Hans Isaac, Nikki Palikat, Suki, Remy Ishak, Anuar Zain, Ziana Zain, Nadiya Nissa, Ruzana Ibrahim, Sharifah Amani, Saiful Apek, Linda Onn dan ramai lagi.