Usahawan kosmetik popular, Datuk Seri Aliff Syukri menafikan dakwaan yang mengatakan rumah tangganya bermasalah susulan tindakannya yang sudah tidak mengikuti isterinya lagi, Datin Seri Shahida di Instagram.

Aliff, 33, berkata hubungan rumah tangganya bersama isteri baik-baik sahaja.

"Tak ada apa-apa yang berlaku antara kami, kami bahagia. Saya bahagia dengan perkahwinan, dengan anak-anak saya...kami bahagia.

"Saya tak nak sentuh mengenai keluarga saya," katanya ketika ditemui sewaktu sidang media pelancaran lagu Cuba Bahagia di Kota Damansara, Petaling Jaya, Selangor.

Dalam pada itu, Aliff ketika ditanya mengenai tindakan Shahida yang juga tidak mengikutinya di Instagram, usahawan tersebut enggan memberikan komen lanjut.

"Tiada komen", jawabnya ringkas.

Terdahulu, hubungan rumah tangga pasangan tersebut dikatakan bermasalah selepas kedua-dua mereka sudah tidak mengikuti antara satu sama lain di Instagram.

Dakwaan itu dikuatkan lagi apabila lagu terbaharunya, Cuba Bahagia yang dilancarkan hari ini seolah-olah ditujukan buat insan bergelar isteri.

Biarpun menafikan hal tersebut, namun, Aliff mengakui lagu itu menggambarkan perasaannya ketika ini yang benar-benar sedih dengan apa yang dilalui.

"Dulu saya gembira, sekarang saya tak bahagia. Bahagia itu subjektif. Ada orang kaya bahagia, ada kerjaya bahagia, dapat hadiah bahagia.

"Saya nak bahagia dengan anak dan keluarga," luahnya.

Sebelum ini, Aliff terpalit dengan beberapa kontroversi sehingga menerima kecaman teruk daripada banyak pihak termasuklah daripada ahli keluarga sendiri.

Dalam pada itu, lagu Cuba Bahagia merupakan single ketujuh yang diterbitkan usahawan tersebut.

Ia merupakan cubaan sulung Aliff menghasilkan sepenuhnya lirik dan lagu berkenaan.