Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!

"Saya Banyak Bermain Emosi & Menangis Kerana Watak Hani" - Hanna Aqeela

Zulaikha Yusof
21/07/2021 01:24 MYT
Pelakon Hanna Aqeela, 31, mengakui berat untuk memikul karakter Hani dalam drama terbarunya, Suara Hati yang kini ditayang di Astro Prima.

Menurut Hanna atau nama sebenarnya Hanna Aqeela Mohd. Rosni berkata watak Hani memerlukan komitmen yang tinggi kerana banyak bermain dengan emosi serta perlu menangis.

"Saya banyak bermain emosi dan menangis kerana watak Hani. Ia satu cabaran yang berat buat saya kerana karakter ini sarat dengan pelbagai masalah kehidupan dan dugaan yang harus ditanggung.

"Umpamanya, kisah cinta Hani yang menuntut dia membuat pengorbanan. Ditinggalkan kekasih yang tiba-tiba menghilang dan kemudian, kena berkahwin pula dengan lelaki pilihan keluarga.

"Melihatkan jalan cerita sebegini, saya sudah merasai beratnya perasaan hati ditanggung Hani.

"Apapun, saya sudah membuat yang terbaik untuk watak ini dan semoga penonton menerimanya," katanya.

Hanna ditemui pada sidang media yang diadakan secara maya, baru-baru ini.

Dalam pada itu, pelakon drama Love You Mr. Arrogant mendedahkan dia menangis tanpa henti walaupun sudah selesai babak terakhir.

Katanya, air mata itu adalah tanda kelegaan setelah berjaya menghabiskan penggambaran drama tersebut dengan baik.

"Ya Allah… saya rasa lega sangat kerana beban watak yang penuh dengan emosi berat itu akhirnya berjaya juga dihabiskan.

"Saya tak sangka dapat juga menghabiskan penggambaran drama ini dengan baik berbekalkan kepuasan tersendiri.

"Alhamdulillah segalanya dari awal sehingga akhir dipermudahkan-Nya. Apatah lagi ketika melakonkan pada babak-babak menangis," katanya lagi.

Selain Hanna, drama 13 episod ini turut dibintangi oleh Syafiq Kyle, Aidil Aziz, Zeera Hariz, Afzan A Rahman, Qistina Khaled, Syahir Shafein, Liza Rafar, Fazlina Ahmad Daud dan YM Dato’ Sri Rezza Shah.

Jangan lupa saksikan Suara Hati yang bersiaran secara eksklusif menerusi slot Tiara pada setiap hari Isnin hingga Jumaat, jam 6.00 petang di saluran Astro Prima (105) serta turut boleh distrim menerusi aplikasi Astro GO dan On Demand untuk pilihan yang lebih fleksibel.
#Astro Prima #Hanna Aqeela #Kyle #Syafiq #Suara Hati,
;