“Saya Bawa Ayah Bersama Saya” - Genap 7 Tahun Pemergian, Imran Ajmain Bawa Foto Arwah Bapa Ke Makkah

Azwa Rahman
Mac 7, 2020 05:09 MYT
Penyanyi Imran Ajmain meluahkan rasa sayunya apabila terkenang pemergian arwah bapa yang memasuki 7 tahun ketika menunaikan ibadah umrah baru-baru ini.
Menerusi laman sosial Instagram, Imran memuat naik sekeping foto bersama bapanya yang diletakkan di sebelah Kaabah untuk tatapan umum.
“Sebaik sahaja selesai tawaf yang terakhir di sana, saya keluarkan foto ini - sejujurnya dengan penuh niat diletakkan bersebelahan dengan Kaabah dan berfoto untuk detik ini hari ini, sebagai tanda “I brought you here with me”.
“Tarikh 6 Mac 2020 merupakan genap 7 tahun arwah abah saya, Ahmad Husaini Ajmain, selamat dikebumikan di sebuah pusara di Singapura. Beliaulah insan bersama mak saya yang membesarkan saya sehingga saya menjadi seorang dewasa,” tulis Imran sebagai kapsyen.
Pada foto yang sama, Imran turut menitipkan doa kepada pengikutnya yang kehilangan bapa tersayang supaya sentiasa tabah dan meneruskan kehidupan.
Meninjau ruangan komen, ramai yang turut mendoakan agar arwah bapa penyanyi berusia 39 tahun itu dirahmati Allah SWT.
Malah, ada juga yang turut berkongsi kisah pilu kehilangan ibu dan bapa masing-masing.
“Semoga roh Almarhum tenang di sana,” doa seorang wargamaya.
“Arwah ibu saya juga dah 11 tahun, tarikh yang sama. Al-fatihah untuk kedua-duanya,” kata seorang wargamaya.
“Semoga syurga tempatnya nanti,” ujar seorang wargamaya lagi.
#Selebriti #Umrah #Ibadah