BERITA
"Saya Berdoa Supaya Menang, Mahu Bersihkan Nama' - Syed Saddiq
Selepas lima tahun menanti, Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menzahirkan harapan agar keputusan rayuan yang bakal diumumkan oleh mahkamah hari ini berpihak kepadanya.
Beliau berkata, perjalanan kes yang panjang itu menyaksikan sokongan padu daripada keluarga, rakan-rakan serta penyokongnya yang tidak pernah berhenti memberi semangat dan doa.
“Saya terhutang budi khususnya kepada ibu bapa dan keluarga kerana sentiasa memberikan sokongan.
“Kepada rakan-rakan kepimpinan Muda dan sahabat-sahabat yang datang dari jauh, walaupun tidak dapat hadir, mereka menyampaikan doa dan salam secara dalam talian. Saya ucapkan terima kasih,” katanya ketika ditemui media di pekarangan Mahkamah Persekutuan, pada Rabu.
Syed Saddiq turut melahirkan rasa terharu dengan inisiatif beberapa pihak yang menganjurkan bacaan Yasin secara maya sejak beberapa hari lalu.
“Tiga ke empat hari lepas, setiap malam ada sesi dalam talian di TikTok, di Zoom – bacaan Yasin. Saya benar-benar terharu dan terhutang budi kerana dalam dunia politik ini, saya hanyalah insan biasa.
“Tetapi kerana sokongan dan dorongan semua, saya tabah dan mampu terus melangkah ke hadapan walau apa pun rintangan dan cabarannya,” ujarnya.
Mengulas lanjut, bekas Menteri Belia dan Sukan itu menegaskan bahawa beliau komited untuk membersihkan namanya melalui saluran undang-undang.
“Harapan saya hari ini, selepas lima tahun, saya hanya berdoa supaya kebenaran menang. Saya mahu membersihkan nama saya seperti yang saya janjikan melalui platform mahkamah.
“Saya hormati dan sanjungi institusi ini kerana ia adalah platform terbaik untuk membersihkan nama seseorang, diadili menggunakan fakta dan data, dan pada masa yang sama, diadili oleh ALLAH SWT,” katanya.
Ketika ditanya mengenai sebarang kemungkinan sekiranya keputusan hari ini tidak memihak kepadanya, Syed Saddiq secara ringkas menjawab:
“Saya rasa kita biarkan para hakim membuat keputusan dan kita nantikan keputusannya," katanya.
Sumber: Sinar Harian
Must-Watch Video