"Macam mana orang baru nak naik jika orang lama tak buka ruang?"

Begitulah jawapan penyanyi rap Altimet ketika ditanyakan mengenai kelompangan yang bakal wujud dalam dunia hip hop tempatan selepas dia bersara bermula 27 November hadapan.

Altimet atau nama sebenarnya, Ahmad Abdul Rahman, bakal bersara dari merakamkan lagu dan membuat persembahan selepas bermula dari tarikh tersebut bersempena hari lahirnya yang ke-40.

"Demi kesihatan dan kemajuan dunia hip hop tempatan, saya sendiri kena buka jalan. Saya akui, salah satu sebab saya bersara adalah untuk mewujudkan kelompangan itu.

"Sebagai contoh, kita lihat saja band rock otai seperti Wings dan Search. Jika mereka tak membawa diri sebagai band otai, bagaimana band-band baru lain nak maju ke hadapan?

"Insya-Allah, cara ini akan membuka ruang dan membawa jalan baru buat penyanyi rap baru di luar sana," kata Altimet.

Tambah Altimet, keputusan bersara adalah muktamad. Namun begitu, dia masih lagi akan terlibat dalam proses pembikinan lagu di belakang tabir.

"Saya akan masih lagi terlibat dengan bidang muzik tetapi lebih kepada kerja-kerja belakang tabir. Saya mahu penyanyi rap muda pergi jauh.

"Saya nampak potensi SonaOne, Akeem Jahat, Aman Ra dan bekas anggota kumpulan Sleeq, Alif dalam muzik hip hop tempatan. Saya sendiri meminati mereka dan mahu mereka pergi jauh," katanya lagi.

Altimet baru sahaja muncul dengan album terbaru yang berjudul Air.

Lagu-lagu yang terkandung dalam album tersebut adalah Mambang, Ngam, KL Wangan, Same Kind, Muda dan Bunga yang kini menjadi single terbaru Altimet.

Album Air sudah boleh didengar dan didapati menerusi semua platform digital. Album fizikal pula bakal menemui peminat muzik bermula 1 April.

Teks oleh: Kamaruddin Razal
Foto: Instagram @zamirmahadi