Juruiring polis kepada Perdana Menteri, SAC Nik Ezanee Mohd Faisal dijangka akan kembali berkhidmat dalam pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Memetik laporan Astro Awani, Nik Ezanee memaklumkan, niat untuk kembali ke tugasan lama itu sudah disampaikan kepada Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada 2 April lalu selepas pulang dari Jakarta, Indonesia.

"Selepas mendapat persetujuan Perdana Menteri pada 2 April lalu, saya juga membuat permohonan pertukaran dalam sistem penjawatan PDRM dan buat masa sekarang masih lagi bertugas di Pejabat Perdana Menteri," katanya.

Jelasnya lagi, Ismail Sabri juga menyambut baik hasratnya untuk kembali menyertai badan kepolisan tersebut.

Dalam pada itu, beliau ada memaklumkan mengenai permohonan pertukaran itu kepada Pengarah Pengurusan Bukit Aman Datuk Zaini Jass.

Jelas beliau lagi, keputusan pertukaran tersebut diambil selepas dia mengambil kira pengalaman dan kebolehan yang ada untuk dicurahkan kepada entiti seperti PDRM serta rakyat Malaysia.

"Berhubung keputusan ini, saya merasai pengalaman dan kebolehan saya ini boleh saya sumbangkan kepada PDRM. Pengalaman yang ada mungkin boleh menambah baik pasukan PDRM.

"Buat masa ini, tiada sebarang keputusan mengenai permohonan itu dan saya sedia berkhidmat di lapangan," katanya.

Sementara itu di laman sosial, hasrat tersebut disambut naik oleh wargamaya yang rata-ratanya cukup memandang tinggi pegawai polis tersebut.

“Datuk Ayob - KPN, Tuan Ezanee - Timbalan KPN.. Insha Allah rakyat malaysia sokong,” ujar seorang wargamaya.

“Alhamdulillah..tahniah..terbaik Tuan..saya juga isteri pegawai polis rasa bangga,” komen seorang wargamaya.

“One of the most charismatic Police Officer. I hope he will be promoted to be the Selangor Deputy CPO soon.
Datuk Ayob Khan and Nik Ezanee will make a good combination at the top,” puji seorang wargamaya.

“Tuan Nik Ezanee antara Pegawai Terbaik dalam PDRM,” luah seorang wargamaya.

“Cari la org lain juruiring, dia sesuai lead pasukan dan tugasan kepolisan,” cadang seorang wargamaya lagi.

Pada 21 Disember 2021, Nik Ezanee yang memegang jawatan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Selangor antara lima pegawai kanan Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang terlibat dalam pertukaran jawatan berkuat kuasa serta-merta.

Beliau dilantik sebagai juruiring polis kepada Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di Jabatan Perdana Menteri.