Penyanyi senior berbakat, Datuk Hattan akui menggunakan akaun Facebook untuk menegur kesilapan demi kebaikan industri hiburan tempatan.

Menurut Hattan, dia tidak akan menulis perkara-perkara remeh dan tidak penting dalam perkongsian yang dibuat menerusi laman sosial terbabit.

"Saya menggunakan medium Facebook untuk memberi teguran jika ada kesilapan, saya bersuara untuk perkara penting sahaja.

"Sebenarnya, tujuan saya hanyalah untuk kebaikan industri hiburan tempatan, saya amat sayangkan industri," jelasnya.

Hattan berkata demikian ketika ditemui di Sidang Media Konsert Tri-O bertempat di Traders Hotel, Kuala Lumpur Rabu lalu.

Tambah Hattan, dia merasakan apa yang diperolehinya dalam bidang hiburan sudah mencukupi.

"Kalau untuk diri saya, saya sudah dapat apa yang saya mahukan, malah saya juga telah mempunyai 15 lagu hit sepanjang penglibatan saya sebagai seorang penyanyi.

"Jadi apa yang saya suarakan hanyalah untuk kepentingan industri sahaja," tambah pelantun lagu Mahligai Syahdu ini.

Konsert Tri-O bakal menyaksikan gabungan Hattan bersama Hazama dan Azlan Typewritter.

Konsert berprestij itu merupakan sebuah anjuran dari pihak Orkestra Filharmonik Malaysia (MPO) dan akan berlangsung di Dewan Filharmonik Petronas (DFP), Kuala Lumpur City Centre.

Ia bakal berlangsung pada 16 dan 17 November tidak lama lagi.

Jangan lepaskan peluang untuk menyaksikan konsert ini, harga tiket dijual pada harga RM99 (C Reserve), RM139 (B Reserve), RM 199 (A Reserve) dan RM299 untuk kategori Premium.

Tiket boleh ditempah menerusi talian 03-23317007, email [email protected] atau menerusi laman web www.mpo.com.my.

Kredit Foto : mStar