Berita
"Saya Bersyukur Dapat Menyanyikan Lagu Ciptaan Terakhir Pak Ngah" - Baby Shima
Penyayi dan bintang program Big Stage, Baby Shima bersyukur kerana dapat menyanyikan lagu ciptaan terakhir Datuk Suhaimi Mohd Zain atau Pak Ngah sebelum meninggal dunia.
Lagu yang berjudul Manis-Manis Cinta itu menyaksikan gabungan duet antara Baby Shima dan Syafiq Farhain.
"Ini adalah pertama kali saya mengeluarkan lagu tradisional.
"Menyanyikan karya seorang lagenda, Allahyarham Pak Ngah adalah satu penghargaan besar buat saya, lebih bermakna lagi, lagu tersebut merupakan ciptaan terakhirnya sebelum meninggal dunia.
"Semua orang tahu lagu ciptaan beliau semuanya sedap didengar, saya juga bersyukur kerana Syafiq Farhain memilih saya sebagai pasangan duetnya," kata Shima ketika dihubungi Gempak.
Dalam pada itu, Shima berharap agar lagu tersebut mendapat sambutan yang positif dari pendengar.
"Semoga lagu ini diterima baik oleh ramai orang, selepas ini, mungkin susah bagi kita untuk mendengarkan lagu begini lagi," tambahnya.
Video muzik rasmi Manis-Manis Cinta sudah ditayangkan selama dua hari di YouTube, tontonannya pula sudah mencecah 389,000 setakat ini.
Must-Watch Video