Layan Gempak Non-Stop Live hari ini selama 12 jam! Kumpul kata kunci & menang hadiah menarik di sini
Hiburan

"Saya Bersyukur, Tak Sangka..." - Yusry Gembira 6 Hari Dapat Respon Positif

Kamaruddin Razal 16/06/2020 | 08:41 MYT
Pelakon, pengarah dan penyanyi, Yusry Abdul Halim bersyukur kerana telefilem 6 Hari yang ditayangkan pada hujung minggu lalu mendapat respon positif.
Ketika dihubungi oleh Gempak, Yusry rasa gembira kerana penonton dapat mesej yang ingin disampaikan dalam naskhah terbabit.
"Alhamdulillah, saya rasa bersyukur. Sejujurnya, saya tak sangka kerana saya ada tengok juga projek-projek sebelum ini yang disiarkan di saluran Astro Citra.
"Saya gembira bila orang lain memberikan respon positif terhadap 6 Hari. Apa yang paling penting, orang 'enjoy' dengan cerita ini," kata Yusry.
Telefilem 6 Hari mengisahkan tentang Suzi (Lisa Surihani) yang bahagia sebagai isteri ketiga kepada seorang ahli perniagaan.
Suzi tinggal bersendirian di sebuah banglo kerana suaminya hanya akan pulang ke rumah setiap enam hari untuk menghabiskan masa dengan isteri-isterinya yang lain.
Kehidupannya berjalan seperti biasa sehingga kemunculan bekas teman lelakinya, Faizal (Yusry) yang merupakan bekas banduan datang ke rumahnya yang kemudian mengugut untuk memberitahu kisah jenayah mereka kepada Ismal.
Dalam pada itu, Yusry mengakui ia bukan satu tugas yang senang untuk mengarahkan telefilem sewaktu tempoh Perintah Kawalan Pergerakan.
"Dengan keadaan terbabit, saya harus menggunakan semua 'benda' yang ada biarpun ia terhad.
"Apabila mendapat respon baik sehingga trending di Twitter, saya rasa bersyukur kerana apa yang kami usahakan mendapat perhatian," katanya lagi.
Untuk anda yang ingin kembali menonton 6 Hari, jangan lupa saksikannya kembali di platform penstriman di aplikasi Astro GO dan on demand.
#Lisa Surihani #Yusry Abdul Halim #6 Hari
;