Penyanyi senior berbakat, Datuk Hattan bakal berkongsi pentas bersama dua penyanyi popular iaitu Hazama dan Azlan Typewriter dalam Konsert Tri-O yang bakal diadakan pada 16 dan 17 November ini.

Konsert berprestij itu merupakan sebuah anjuran dari pihak Orkestra Filharmonik Malaysia (MPO) dan akan berlangsung di Dewan Filharmonik Petronas (DFP), Kuala Lumpur City Centre.

Menurut Hattan, dia tidak pernah menjejak kaki di DFP dan akan melakukan yang terbaik untuk konsert tersebut.

"Sejujurnya, saya tidak pernah masuk ke Dewan Filharmonik ini sebelum ini, jadi saya betul-betul komited untuk mengadakan persembahan bersama Hazama dan Azlan dalam konsert ini.

"Konsert ini agak berbeza kerana menampilkan Orkestra dimana kita sedia maklum, cara persembahan menggunakan orkestra adalah unik berbanding persembahan biasa.

"Sebab itulah saya menerima tawaran dari pihak MPO walaupun ada beberapa tawaran lain ketika itu, megadakan persembahan di DFP adalah impian setiap penyanyi" ujar pelantun lagu Memburu Impian ini.

Hattan berkata demikian ketika ditemui di sidang media Konsert Rock Tri-O bertempat di Traders Hotel, Kuala Lumpur sebentar tadi.

Tambah Hattan, urusan persediaan konsert itu akan menjadi mudah kerana dia sudah lama mengenali Hazama dan Azlan.

"Bercakap mengenai kolaborasi bersama dua penyanyi ini, saya memang tiada masalah dari segi interaksi dengan mereka kerana saya mengenali Hazama sejak dia bertanding di program yang dijurikan oleh saya.

"Manakala Azlan juga saya sudah kenal sejak zaman dia bertopeng separuh muka dahulu, kami sudah biasa bekerjasama," selorohnya.

Jangan lepaskan peluang untuk menyaksikan konsert ini, harga tiket dijual pada harga RM99 (C Reserve), RM139 (B Reserve), RM 199 (A Reserve) dan RM299 untuk kategori Premium.

Tiket boleh ditempah menerusi talian 03-23317007, email [email protected] atau menerusi laman web www.mpo.com.my.