Hiburan
“Saya Betul-Betul Gembira Untuk Hip Hop” - Aman RA
Penyanyi rap Aman RA berkongsi kegembiraannya apabila lagu hip hop sekali lagi mendapat pengiktirafan di pentas berprestij.
Menurut Aman atau nama sebenarnya Aman Jamaluddin, 33, dia bersyukur apabila muzik hip hop semakin mendapat tempat.
“Apa yang saya nampak tadi, ramai betul yang sokong lagu Bangun.
“Saya rasa muzik hip hop memang tengah trend dah ada pengikut sekarang. Tapi ini tidak bermaksud saya nak ketepikan mana-mana genre muzik lain.
“Saya sangat sayang pada muzik hip hop dan rap. Apa-apa pencapaian dalam industri yang kita dapat, kami rasa sangat bersyukur,” kata Aman kepada Gempak.
Aman ditemui selepas majlis sidang media Anugerah Juara Lagu 34 (AJL34) yang diadakan di Axiata Arena, Kuala Lumpur pada Ahad.
Tambah Aman lagi, dia berharap menerusi lagu Bangun, lebih ramai orang akan mendapat inspirasi.
“Saya harap ada orang yang senasib dengan saya atau berkongsi perasaan rasa terubat.
“Karya saya lebih kepada apa yang saya lalui. Saya rasa tersepit, saya nampak orang tersepit, saya serap semangat tu dan saya tulis lagu.
“Sebagai pengkarya, kalau orang boleh relate dengan kisah yang kita nak sampaikan, itu sudah cukup bermakna, saya rasa sangat bersyukur,” ujar Aman lagi.
Pada malam AJL34, Bangun ciptaan Aman RA dan Navigator berjaya mengungguli tempat naib juara.
Aman membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM35,000 bersama trofi.
Must-Watch Video