"Saya Buat Majlis Penyerahan Zakat Bukan Kerana Untuk Tutup Kontroversi" - Aliff Syukri

Kamaruddin Razal
November 13, 2018 02:05 MYT
Usahawan selebriti, Datuk Seri Aliff Syukri menafikan dia mengadakan majlis penyerahan zakat hanya kerana ingin menutup isu hangat yang terjadi kepada dirinya.
Baru-baru ini, Aliff yang merupakan penaja utama Gegar Vaganza musim kelima (GV5) terpalit dengan kontroversi apabila didakwa melabelkan seorang wanita dengan panggilan hodoh.
Aliff juga didakwa mempertikaian warna kulit seorang penyanyi undangan yang membuat persembahan di konsert suku akhir GV5 yang berlangsung dua minggu lalu.
"Berkenaan dengan kontroversi terbabit, saya sudah memohon maaf. Namun begitu, majlis yang berlangsung adalah bukannya untuk menutup isu yang terjadi.
"Majlis ini sudah dirancang enam bulan sebelum ia diadakan dan mendapat kerjasama Lembaga Zakat Selangor (LZS).
"Mana mungkin pihak kami sempat melakukan persiapan dalam masa seminggu.
"Jika masih ada yang tak percaya, boleh tanyakan sendiri dengan LZS. Tujuan saya menguar-uarkan mengenai majlis ini adalah untuk berkongsi perkara yang baik kepada ramai orang.
"Saya juga mahu menjadi motivasi kepada usahawan lain untuk sama-sama berkongsi rezeki kepada mereka yang memerlukan," kata Aliff kepada Gempak.
Majlis penyerahan zakat anjuran D' Herbs Holdings bersama LZS ini merupakan acara tahunan yang dilakukan oleh Aliff.
Jika sebelum ini, Aliff menumpukan penyerahan zakat kepada badan kebajikan sahaja, kali ini ia sedikit berbeza apabila Aliff turut memberikan zakat terhadap pelajar sekolah yang memerlukan.
"Syukur, Alhamdullilah... Selain membantu badan kebajikan, kali ini saya turut membantu pelajar yang memerlukan.
"Majlis ini diadakan untuk membantu pelajar untuk mendapat barangan kelengkapan sekolah mereka untuk sesi persekolahan tahun hadapan.
"Sebanyak RM1.5 juta diperuntukkan untuk membantu mereka dan kami bekerjasama dengan LZS.
"Semua ini dapat dilaksanakan atas sokongan yang saya terima daripada masyarakat Malaysia, terutama sekali mereka yang menyokong jenama saya. Terima kasih saya ucapkan," katanya lagi.
Bertindak sebagai penaja utama GV5, konsert akhir GV5 bakal bersiaran pada 18 November ini.
Ia ditayangkan secara langsung di saluran Astro Ria (104) dan Ria HD (123) pada setiap Ahad jam 9 malam.
Layari laman web www.gegarvaganza.com.my untuk segala informasi lanjut mengenai GV5.
#Aliff Syukri #GV5