Aktor Shaheizy Sam mendedahkan ujian swab test Covid-19 yang dilakukan terhadap seluruh ahli keluarganya baru-baru ini adalah sebagai langkah berjaga-jaga.

Menurut Shaheizy Sam atau nama sebenarnya Shaheizy Sam Abdul Samad, 38, ujian calitan itu kerap dilakukan oleh bukan sahaja keluarganya malah keluarga besarnya yang tinggal berdekatan.

“Sebenarnya memang kami akan sentiasa buat ujian ni sebagai rutin kami satu keluarga…boleh dikatakan setiap bulan.

“Kerap la kami lakukan kerana keluarga besar, semua pun tinggal selang beberapa rumah saja. Jadi memang lakukan ujian itu untuk semua sekali.

“Saya rasa ujian ini memang perlu dilakukan dengan kerap sebagai langkah berjaga-jaga memandangkan wabak ini pun sudah merebak merata-rata,” kata suami kepada pelakon Syatilla Melvin ini.

Sam memberitahu Astro Gempak ketika dihubungi berkaitan satu hantaran di akaun Instagram (IG) miliknya yang menunjukkan seluruh ahli keluarganya termasuk anak kecil melakukan ujian tersebut.

Rakaman video tersebut telah mendapat perhatian pengikutnya yang lucu melihat gelagat anak-anaknya yang terpaksa menjalani ujian tersebut sambil menerima sorakkan dari ahli keluarga.

Berkongsi mengenai perkembangan serta aktivitinya sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Penuh atau lockdown ini, Sam memberitahu dia kini memberi tumpuan kepada perniagaan satu produk makanannya.

“Sekarang ini memang Sam tengah lupakan dulu bidang lakonan untuk memberi tumpuan kepada perniagaan Syokotube.

“Sam gembira bila ramai peniaga yang Sam dapat bantu terutama yang terjejas ketika pandemik ini,” kongsinya.

Sam dan Syatilla mendirikan rumah tangga pada 8 Februari 2016 dan dikurniakan dua orang cahaya mata iaitu Syeriv Samheizy dan Sarima Samheizy.

A post shared by Shaheizy Sam Samad (@shaheizy_sam)