"Saya Budak Flat" - Faezah Elai Akui Seronok Duduk Flat, Netizen Puji Tak Segan Mengaku Asal Usul

ZULHILMI JALIL
Ogos 3, 2020 08:41 MYT
Pelakon Faezah Elai mengimbau kenangan lamanya sewaktu membesar di sebuah rumah jenis pangsa kos rendah di Pulau Pinang.
Menurut Faezah kehidupan sebagai 'budak flat' sebenarnya cukup meriah lebih-lebih lagi apabila setiap kali tibanya musim perayaan.
"Saya budak flat. Flat Taman Tun Sardon Penang. Siapa balik flat raya baru ni?
"Duduk flat ni meriah woo! Terutamanya masa raya. Kalau ada yang bergaduh laki bini, memang satu flat boleh dengar," ceritanya menerusi satu entri di Instagram.
Katanya lagi, kehidupan di flat juga membuatkan dia sering berdepan dengan pelbagai ragam jiran-jiran sekeliling.
Bahkan, situasi itu secara tidak langsung membuatkan dia mula belajar menjadi 'mami jarum' sebenar.
"Saya ingat lagi sewaktu saya berusia lingkungan 12 tahun, tengah malam jiran bawah rumah berkelahi laki bini.
"Saya dan kakak dengan bedak sejuk tepek kat muka, duduk cangkung di tepi tangga dengar mereka bergaduh..pasal apa tak tahu, lupa dah.
"Saya punya 'bawanglah' ketika itu. Kamilah mami jarum sebenar. Saya seronok dengan memori ketika zaman kanak-kanak.
"Kita memang layak digelar The Real Mami Jarum! @suzzannaelai @misesart," ceritanya.
Perkongsian Faezah mengenai kehidupannya di flat itu turut menerima respons positif dalam kalangan pengikutnya.
Rata-rata memuji dirinya yang tidak pernah malu mengakui asal usulnya biarpun kini sudah hidup berjaya dan menjalani kehidupan yang lebih selesa.
"Artis paling rendah diri dan tak malu mengaku asal dari mana," tulis salah seorang pengikutnya.
"Bagus dia ni. Macam nilah anak mami Penang. Tau asal usul, nak malu apa kan," komen seorang warga net.
"Saya sanjung orang begini.
"Ya..flat dulu-dulu memang meriah. Jiran pun baik-baik.. flat yang baru-baru ni je kurang sikit..ada yang tak kenal jiran sebelah," tulis netizen lain.
Saksikan drama lakonan Faezah Elai di Astro pada telefon pintar anda melalui aplikasi Astro GO. Muat turun aplikasi Astro GO di Google Play dan Apple Store sekarang.
Apapun, pastikan anda selalu mencuci tangan, pakai topeng muka, gunakan 'sanitizer', kurangkan aktiviti di luar rumah serta lakukan semua perkara yang boleh mencegah COVID-19!
#Faezah Elai #Mami Jarum #Flat