Hiburan
"Saya Bukan Orang Kaya ..." - Shima Anuar
Aktres Shima Anuar menyatakan sekiranya ingin menambah rezeki perlu ada usaha dari diri sendiri bukan semata-mata menunggu.
Menurut Shima, sikap yang selalu memberi alasan itu perlu dijauhi dan tidak dipraktikkan dalam kehidupan.
"Saya bukan orang kaya, saya hidup biasa. Cukup makan pakai, alhamdulillah. Tapi kalau nak cari rezeki lebih, nak kongsi rezeki dengan orang lain, nak bantu orang lain, kena la usaha lebih kan?
"Rezeki tak jatuh dari langit tanpa usaha. Perumpaan yang paling senang saya selalu pakai, 'kalau awak lapar, awak baca doa makan ja, tanpa suap makanan dalam mulut, awak takkan kenyang'. Betul tak?
"Macam tu jugak dengan rezeki kita. Kena doa, kena usaha. Jangan bagi alasan, ada pembantu rumah boleh la, pengikut banyak boleh la.
"Kalau ada pembantu rumah, tapi tak ada hati nak buat kerja pun tak boleh jugak. Pengikut banyak tapi takda orang nak beli pun tak guna jugak.
"Pengikut saya pun bukan banyak sangat sampai juta-juta. Dan tak semua orang kenal saya pun. Jadi, jangan bagi alasan," tulisnya di Instagram (IG).
Shima memulakan perniagaan laksam dengan mengambil tempahan penghantaran ke rumah pelanggan sewaktu tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Bagaimanapun, perniagaan itu kemudian dihentikan seketika kerana dikatakan mahu memberikan fokus kepada keluarga.
Namun, sejak Jun lalu, Shima membuat pengumuman untuk meneruskan semula perniagaannya itu.
Dalam pada itu, pelakon yang mencipta nama menerusi filem Flat 3A turut menghargai sebuah entri seorang wanita yang dikenali dengan nama Azira Mamat yang memuji sikap kesungguhannya meniaga.
"Terima kasih Azira Mamat untuk kata-kata positif awak. Alhamdulillah syukur.
"Harap post ni dapat bakar lagi semangat orang-orang kita untuk meniaga walaupun secara kecil kecilan (sikit-sikit lama-lama jadi bukit).
"Nak seribu daya, tak nak seribu dalih. Itu saja. Selamat berjaya kepada semua yang berniaga dan yang dah mula pasang niat untuk berniaga," tulisnya lagi.
Sebelum ini, Shima mengakui lebih selesa untuk terus mencari sumber pendapatan sendiri, tanpa perlu bergantung kepada suaminya semata-mata.
Must-Watch Video