HIBURAN

“Saya Bukan Pengganti Shila Amzah” – Amsyar Lee

Umirah Halim 13/06/2025 | 11:55 MYT

Kemunculan Amsyar Lee sebagai wakil Malaysia dalam program realiti nyanyian Sing! Asia nyata mengundang perbandingan dengan penyanyi tersohor negara, Shila Amzah yang sebelum ini pernah mencipta fenomena serupa di China.

Namun, bagi Amsyar, 26, dia menolak sebarang tanggapan yang meletakkannya sebagai pengganti kepada penyanyi idolanya itu.

“Oh tidak, tidak! Shila Amzah memang salah seorang idola Amsyar.

“Masa umur 13 tahun, Amsyar tengok dia menyanyi di China dan sejak itu Amsyar tekad nak jadi macam dia. Tapi bukan nak ganti dia… cuma ikut jejak langkah,” ujarnya secara eksklusif kepada Gempak

Malah menurutnya, Shila sendiri pernah meninggalkan komen sokongan di media sosial untuk mendoakan kejayaannya dalam pertandingan tersebut.

“Shila ada komen dan ucap semoga berjaya. Amsyar rasa sangat terharu. Itu pun dah cukup buat Amsyar gembira,” katanya lagi.

Suara unik Amsyar dalam julat countertenor mula mendapat perhatian bukan sahaja dalam kalangan peminat antarabangsa, malah berkongsi mengenai perancangan kariernya, Amsyar memaklumkan produksi muzik China juga sudah mula ‘berebut’ menawarkan peluang kerjasama.

“Dekat sana dah ada yang berebut nak kerja sama. Mungkin akan ada lagu Mandarin dan konsert juga. Tapi Amsyar tak nak janji dulu. Kalau jadi, saya akan umum nanti,” ujarnya.

Walaupun sebelum ini pernah beberapa kali gagal uji bakat di Malaysia, Amsyar tidak pernah berputus asa. Kini, impiannya membawa nama negara ke pentas dunia semakin hampir menjadi kenyataan.

“Dulu suara Amsyar orang kata pelik… Tapi sekarang, China buka peluang. Amsyar harap Malaysia bangga,” tambahnya.

Amsyar atau nama lengkapnya Muhammad Amir Syafiq Mohd Sadri kini menjadi sebutan dalam Sing! Asia, pertandingan nyanyian yang disiarkan menerusi platform iQiYi dan menghimpunkan peserta dari sembilan negara termasuk China, Jepun, Vietnam, Thailand dan Singapura.

Program itu turut menampilkan juri bertaraf dunia antaranya Jessie J, Kudo Shizuka (Jepun), Zhang Liangying (China) dan Tanya Chua (Taiwan).

#China #Shila Amzah #Lee #amsyar #ising