Hiburan

"Saya Bukan Perempuan Bodoh" - Pernah Lalui Episod Hitam Kerana Isu GST, Mawar Rashid Kini Lebih Positif

gempak
Kamaruddin Razal
11/03/2020
07:11 MYT
Sponsor Banner
"Saya Bukan Perempuan Bodoh" - Pernah Lalui Episod Hitam Kerana Isu GST, Mawar Rashid Kini Lebih Positif
Perjalanan pelakon Mawar Rashid ketika mula membina nama dalam bidang seni tidak semudah selebriti lain.
Bermula sebagai seorang personaliti media sosial yang berjaya mengumpul pengikut sendiri di internet, Mawar memulakan langkah dalam dunia hiburan dengan menyertai Dewi Remaja pada tahun 2014.
Ketika itu, isteri kepada pelakon dan usahawan Raf Yaakob ini sudah mula merasakan sendiri 'kehangatan' dan kontroversi dunia selebriti.
"Isu Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) memang memberikan kesan mendalam dalam kehidupan saya. Ketika itu, saya dihentam teruk.
"Saya masih belum matang lagi dan ketika itu, sejujurnya saya 'blank' untuk menjawab soalan berkenaan GST. Silap saya juga kerana tidak bersedia tetapi saya sangat gementar.
"Bayangkan, perkara terbabit menjadi bahan usikan dan sindiran yang memedihkan hati sehinggakan saya ke kedai makan pun, saya terdengar ada orang yang menjadikan saya sebagai bahan jenaka.
"Sehingga satu tahap, saya hanya mahu duduk di rumah dan tak ingin keluar. Saya juga berhasrat untuk menarik diri dari Dewi Remaja," imbas Mawar.
Tambah teraju utama drama bersiri TQ Captain ini, dia kembali mengumpulkan kekuatan dan mula merasakan sendiri hikmah kontroversi yang melanda.
"Saya pernah dituduh bodoh, tetapi saya abaikan perkara terbabit. Saya naikkan semangat sendiri... Keputusan peperiksaan saya juga tidaklah teruk dan saya berbangga dengan keupayaan diri.
"Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) saya dapat 4A, Penilaian Menengah Rendah (PMR) saya dapat 4A dan Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM) saya berjaya dapat 5A.
"Saya bukanlah perempuan bodoh, saya juga menyambung pelajaran di peringkat lebih tinggi dan berjaya bergelar graduan dalam bidang pengurusan perniagaan.
"Akhirnya, saya rasakan kemanisan kontroversi yang melanda. Bermula dari situ, ia menguatkan saya sebagai individu. Sokongan keluarga dan teman rapat benar-benar membuatkan saya bangkit.
"Saya juga menjadi insan yang lebih positif dan lebih berhati-hati dalam apa juga perkara. Selepas melibatkan diri dalam bidang hiburan, kini saya melebarkan langkah dalam bidang perniagaan menerusi Mawarose," katanya.
Ditemui di majlis pelancaran produk kosmetik pertamanya baru-baru ini, Mawar mengusahakan jenama ini bersama keluarganya.
"Jenama Mawarose baru sahaja mengeluarkan produk pertama iaitu Magic Rose Lips & Cheek Cream. Alhamdulillah, sambutan yang saya dapat sangat memberangsangkan.
"Kakak-kakak saya yang mempunyai pengalaman dalam bidang kecantikan sanggup berhenti kerja kerana mahu sama-sama membangunkan jenama ini.
"Langkah pertama kami sudah membuahkan hasil dan sebagai langkah pemasaran, saya keluar dengan lagu tema jenama Mawarose yang dinyanyikan oleh saya sendiri.
"Selain dijual secara atas talian dan menerusi stokis, Mawarose juga menampilkan kelainan kerana ia dijual menerusi 'vending machine'. Saya berharap jenama ini mendapat respon positif orang ramai," katanya lagi.
Untuk sebarang informasi mengenai Mawarose, layari laman Instagram @mawarose_hq.
Saksikan drama bersiri lakonan Mawar, TQ Captain di Astro pada telefon pintar anda melalui aplikasi Astro GO. Muat turun aplikasi Astro GO di Google Play dan Apple Store sekarang.
Topic Berkaitan
Must-Watch Video
Gempak Most Wanted Awards 2024