Penyanyi Ariff Bahran mengakui kesal apabila ada pihak mengelarkan dirinya sebagai seorang yang sombong.

Menurut Ariff, sejak menjinakkan diri dalam industri hiburan dia banyak menerima reaksi negatif daripada orang ramai yang dikatakan berat mulut untuk bertegur sapa dengan orang industri disebabkan terlalu segan.

"Saya akui sejak menjejakkan kaki dalam industri banyak perubahan yang terjadi pada diri saya.

"Sejujurnya saya memang seorang pemalu dan ramai juga orang mengatakan saya sombong kerana tidak mahu bertegur serta berborak dengan orang sekeliling.

"Saya sedar sebagai orang baru perkara itu memberi impak sebenarnya kepada kerjaya. Bagaimanapun, itulah yang saya belajar perbaiki sekarang disebabkan ia sangat penting untuk kerjaya selain sekarang semakin dikenali.

"Saya juga bersyukur kerana ada rakan selebriti seperti Haqiem Rusli yang sentiasa menegur dan memberi nasihat kepada saya untuk memperbaiki kelemahan yang ada pada diri ini," katanya kepada Astro Gempak.

Ariff berkata demikian ketika ditemui pada majlis berbuka puasa Rusa Music & MVM Production di Hotel Royal, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Teks Oleh: Rozaimi Zubaidi

Foto: Instagram