Hiburan
"Saya Bukan Terkenal Seperti Ed Sheeran & Justin Bieber.." - Lewis Capaldi Tak Kejar Populariti
Penyanyi dan penulis lagu yang mula meraih populariti di persada antarabangsa, Lewis Capaldi akui lagu Someone You Loved telah menaikkan namanya di kalangan penggiat seni.
Walaubagaimanapun, Lewis sedar dirinya belum sampai tahap untuk berada sama dengan Ed Sheeran atau Justin Bieber.
“Album pertama saya memang luar biasa penerimaannya sehingga melonjakkan nama saya. Tapi siapa tahu nanti album kedua tidak sebaik yang pertama sekali gus nama saya kembali suram.
"Saya pun bukannya popular seperti Ed Sheeran dan Justin Bieber. Apa yang berlaku pada saya sekarang adalah saya lebih dikenali berbanding dahulu.
"Tetapi saya masih diri saya yang dulu. Namun, saya harus akui berada pada tahap ini masih sukar untuk diri sendiri percayai," katanya ketika sidang media sempena konsert Lewis Capaldi Live In Kuala Lumpur di KL Live, semalam.
Dalam pada itu, penyanyi Scotland berusia 23 tahun itu tidak menjadikan populariti sebagai isu yang perlu dikejar untuk terus kekal relevan.
"Populariti ini bagi saya boleh menimbulkan masalah jika penyanyi itu terlampau fokus.
"Jadi saya tidak terlalu memikirkannya kerana populariti ada pasang surutnya.
“Apapun, saya tidak akan tergamak untuk melakukan perkara seperti mengadakan konsert bodoh demi menarik perhatian orang semula pada masa depan," katanya lagi.
Ini merupakan pengalaman pertama Lewis bersama peminat di Malaysia selepas konsert jelajahnya di Hong Kong, Singapura dan Jepun.
Nama Lewis mula dikenali selepas lagu Someone You Loved menguasai carta muzik utama di seluruh dunia pada tahun lalu.
Must-Watch Video