Pelakon berkontroversi, Lana Nodin enggan melayan provokasi berhubung tindakannya melakukan pembedahan pada bahagian hidung di sebuah pusat perubatan terkemuka di Seoul, Korea Selatan, baru-baru ini.

Lana atau nama sebenarnya, Mazlina Hasan Nodin berkata, dia tidak terkesan dengan kecaman netizen yang menyelar perbuatannya kerana sudah mendapat keizinan suami.

"Kenapa saya nak takut kecaman netizen. Saya bukannya mengubah ciptaan Allah, sebaliknya saya merawat hidung akibat kesan kemalangan yang dialami ketika berusia 17 tahun.

"Saya bukannya artis hipokrit. Saya tahu ada ramai artis membuat pembedahan wajah, tetapi cuba berahsia.

"Apabila saya mendedahkan perkara ini dalam laman Instagram (IG), saya menerima banyak mesej peribadi termasuk selebriti yang berminat mengetahui kos dan lokasi pembedahan dilakukan.

"Keputusan membuat pembedahan hidung di Korea Selatan didorong suami yang tidak suka melihat saya dikecam berikutan kecacatan dialami pada bahagian hidung," katanya kepada BH Online.

Lana berkata, dia terlebih dahulu merujuk kepada pakar agama berhubung isu pembedahan hidung itu.

"Mereka nyatakan apa yang dilakukan tidak salah kerana saya mahu mendapatkan rawatan, bukannya mengubah ciptaan Tuhan," katanya.

Mengulas kos pembedahan jenis 'rhinoplasty' yang menelan belanja sebanyak RM186,000 itu, pelakon drama Suamiku Lelaki Pendosa itu berkata, ia disebabkan perkhidmatan terbaik ditawarkan hospital berkenaan.

"Sejujurnya, saya takut dengan jarum. Masa suami cadangkan saya buat pembedahan, timbul perasaan berbelah-bahagi.

"Namun, suami meyakinkan saya bahawa pusat perubatan dicadangkan itu adalah yang terbaik, jadi saya mengikut sahaja. Pembedahan berjalan lancar dan mengambil masa selama lapan jam.

"Sebaik sedar, hidung sudah berbalut. Saya sangkakan kesan kesakitan akan berlarutan, tetapi rupanya tidak.

"Memang tiada sebarang komplikasi berlaku, wajah pun tidak bengkak. Sesuailah dengan nilai kos dikeluarkan.

"Saya akan berada di Seoul dalam tempoh dua minggu lagi. Suami mahu saya berehat," ujar ibu kepada sepasang cahaya mata ini.

Terdahulu, isteri kepada David Mckenzie memaklumkan pembedahan kali keempat dilakukannya menggunakan tulang rusuk berbanding silikon atau plastik kerana sering terkena jangkitan.

Sumber: BH Online (Farihad Shalla Mahmud)