Kisah bekas penyerang Harimau Malaya, Khalid Jamlus menjual jersi dan medal kemenangan kerana tidak mempunyai kerja tetap beberapa bulan lalu turut mengejutkan pelakon dan pelawak, Azad Jasmin.

Malah, disebabkan mengenali rapat bintang sukan tersebut, ia membuatkan Azad terdetik untuk membantunya.

Susulan itu, Sabtu lalu satu pertandingan Futsal Santai Merdeka turut dianjurkan Bobba Toxx dengan kerjasama Todak Sdn Bhd di KSL Centremart Setapak diadakan atas paksi membantu Khalid.

“Sebab mengenalinya, saya cuba bantu Khalid seadanya termasuk seperti menganjurkan pertandingan futsal ini. Tambah pula dia pun ada menjalankan perniagaan keluarga menjual kambing perap, Khazat.

“Saya guna kelebihan yang ada termasuk hal pemasaran di media sosial.

“Apa salahnya sambil bermain futsal ini dapat mempromosikan diri dan perniagaannya,” kata Azad.

Menurut Azad lagi, pertandingan futsal itu tidak mengenakan bayaran penyertaan.

Bahkan tidak membabitkan penonton kerana menjaga prosedur operasi standard (SOP) ketika pandemik Covid 19 masih berleluasa.

“Kebetulan masuk penajaan seperti Yayasan Ukhwah Insaniah Malaysia, Sentap TV, Ajil, Triple H, Dapur Kak Teh, Maduria dan JR Empire.

“Turut sama berentap bermain futsal ialah pasukan Dai TV4, Bigo Live, Hlive Astro, Imam Muda dan sebagainya,” katanya.

Ditanya apakah pada masa akan datang akan ada kerjasama khusus dia dan bintang sukan berkenaan, Azad tidak menolak peluang serta rezeki.

“Cuma buat masa sekarang belum ada lagi. Ke depan nanti, saya juga mahu menjalinkan kerjasama yang sesuai dengan dia,” katanya.

BACA: "Saya Pernah Berkerja Sebagai Kuli" - Panas Isu Tukang Kebun, Khalid Jamlus Tampil Mohon Maaf